Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju untuk mengketepikan kos mahkamah yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Temerloh terhadap Orang Asli dari Pos Lanai, Pahang, kerana menarik balik saman mereka berhubung projek Empangan Telom.

Keputusan itu susulan memorandum yang dikemukakan oleh aktivis berkenaan awal bulan ini, yang merayu kepada Peguam Negara Tommy Thomas untuk mengketepikan kos prosiding untuk kes tersebut atas alasan mereka tidak mampu membayar jumlah berkenaan.

Mengulas, rayuan itu, AGC hari ini juga meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang juga satu pihak defendan dalam kes itu, untuk "mengambil kedudukan sama" dalam mengecualikan kos.

Mahkamah sebelum ini mengarahkan para aktivis itu membayar sejumlah RM9,000 selepas mereka menarik balik saman terhadap TNB, Jabatan Kemajuan Orang Asli, serta kerajaan Pahang dan persekutuan berhubung projek Empangan Telom.

"AGC telah mempertimbangkan permohonan yang dikemukakan (oleh aktivis Orang Asli) dan bersetuju untuk mengketepikan kos prosiding bagi defendan ketiga dan keempat.

"Begitu juga, penasihat undang-undang negeri Pahang turut bersetuju untuk mengketepikan perkara sama bagi defendan kedua.

"Selanjutnya, AGC meminta TNB, selaku defendan pertama, untuk mengambil pendirian sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang Asli memfailkan injunksi pada 2015 untuk menghalang TNB memulakan kerja di Empangan Telom.

Mereka juga mencabar pemerolehan tanah untuk projek empangan itu, atas alasan bahawa tindakan berkenaan tidak sah.

Mereka diberi injunksi oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur empat bulan kemudian.

Walau bagaimanapun, TNB berjaya mendapatkan satu lagi injunksi lain dari Mahkamah Tinggi Temerloh pada 2016, yang menghalang Orang Asli daripada memasuki tanah berkenaan.

Selepas menyerahkan memorandum kepada AGC pada 8 Januari, aktivis Jeffry Hassan pasrah bahawa walaupun perjuangan Orang Asli menentang pembinaan empangan itu adalah berasas namun mereka terpaksa menarik balik saman itu.

Beliau menambah bahawa keputusan menarik balik saman itu kerana mereka tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Temerloh.