Bersih gesa polis henti intimidasi aktivis
Bersih menggesa polis menghentikan intimidasi terhadap aktivis selepas dua aktivis badan pendesak pembaharuan pilihan raya itu dipanggil untuk disoal siasat berhubung penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) April tahun lalu.
"Aktivis Bersih 2.0 iaitu bekas pemangku pengerusi Shahrul Aman Mohd Saari dan Chan Tsu Chong yang menghantar memorandum tersebut telah dipanggil baru-baru ini untuk disiasat dibawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
"Adalah tidak diterima akal hanya kerana menghantar memorandum pun polis ingin panggil untuk siasatan," kata Bersih dalam kenyataan media hari ini.
Malaysiakini difahamkan Shahrul Aman dan Chan dihubungi polis Jumaat lalu.
Kedua-dua aktivis Bersih berkenaan menyerahkan memorandum kepada SPR pada 25 April tahun lalu bagi membuat aduan berhubung senarai daftar pengundi.
Dalam kenyataannya, Bersih juga menggesa agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) segera memansuhkan Akta Perhimpunan Aman agar ia tidak dijadikan alat untuk menghalang aktivis menyatakan suara mereka secara sah.
"Semenjak pertukaran kerajaan pada Mei tahun lepas sudah beberapa kali akta ini digunakan untuk mengintimidasi aktivis.
"Kes terdekat adalah aktivis mahasiswa di Sabah yang membuat Himpunan Pandang ke Sabah di Kota Kinabalu pada September tahun lepas. Mereka telah dikasari oleh pihak berkuasa dan ditahan di Balai Polis Karamunsing selama beberapa jam hanya untuk disoal siasat," kata kenyataan itu.
Selain itu, Bersih juga menggesa polis mengubah Piawaian Prosedur Operasi (SOP) bagi menumpukan kes-kes yang lebih berat.

