Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mahfuz Omar memohon maaf kepada ibu bapa, penuntut Institut Latihan Perindutrian Kota Bharu dan orang ramai berhubung kejadian pegawainya menendang motosikal yang diletakkan di pekarangan surau di ILP berkenaan pada Jumaat lalu.

"Saya bagi pihak kementerian ingin memohon maaf kepada semua ibu bapa dan penuntut serta orang ramai ekoran kejadian tersebut dan kini saya masih menunggu laporan lengkap daripada JTM sebelum sebarang tindakan dapat diambil," katanya.

Mahfuz dipetik Bernama berkata pihak kementerian masih menunggu laporan penuh Jabatan Tenaga Manusia (JTM) yang sedang menyiasat kejadian itu.

Mahfuz berkata kejadian itu sangat mengecewakan dan tidak seharusnya berlaku.

Sabtu lalu, satu video memaparkan aksi seorang lelaki yang dikatakan berjawatan sebagai timbalan pengarah ILP Kota Bharu yang berang dan bertindak menendang beberapa buah motosikal di kawasan surau pusat kemahiran itu tular di media sosial sekali gus dikecam netizen.

Susulan itu, pegawai berkenaan diarahkan bercuti seminggu sementara siasatan dalaman dilakukan.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan pegawai berkenaan tampil memohon maaf atas perbuatan tersebut dan menyifakan ia berlaku di luar kawalan.

Sementara itu, JTM menegaskan kes seumpama itu adalah kes terpencil dan pihaknya tetap tidak berkompromi dengan sebarang kes salah laku pegawai.