Agensi-agensi keselamatan Singapura telah diarah untuk menahan diri dan mengelak daripada meningkatkan ketegangan dengan Malaysia, menurut Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen.

Arahan itu dikeluarkan agar tidak menjejaskan syarat-syarat yang diperlukan untuk mengadakan perbincangan yang membina dan mencari penyelesaian damai kepada pertikaian yang wujud, kata beliau dalam jawapan bertulisnya di Parlimen hari ini.

Dr Ng memberikan jawapan demikian kepada dua pertanyaan anggota dewan mengenai “pencerobohan Singapura di kawasan perairan Tuas.”

Satu daripada pertanyaan itu ialah sama ada langkah-langkah telah atau akan diambil untuk mencegah kapa-kapal Kerajaan Malaysia (MGVs) daripada terus menceroboh perairan yang telah diwartakan oleh Singapura baru-baru ini sebagai sebahagian daripada sempadan pelabuhannya pada 6 Dis 2018, selain kapal-kapal MGV yang sedang berada di kawasan perairan itu.

Menurut Dr Ng, sejak 3 Dis 2018, “apabila bermulanya pencerobohan oleh MGV berkenaan, anggota keselamatan kita telah berulang kali menggesa agar kapal-kapal tersebut keluar dari kawasan perairan itu.

"Kami akan akan terus berbuat demikian supaya kehadiran mereka di situ tidak membantu memperkukuhkan hujah perundangan Malaysia dalam apa juga bentuk sekalipun, sebagaimana yang telah kita katakan dahulu bahawa ia boleh membawa kepada kemalangan atau kejadian yang dikesali," kata beliau.

Dr Ng mengambil maklum bahawa Singapura mengalu-alukan jaminan kerajaan Malaysia untuk mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan ketegangan di perairan terbabit.

Mengenai isu-isu maritim berkaitan had sempadan pelabuhan Johor Bahru dan Singapura, kedua-dua negara bersetuju pada 8 Jan lepas untuk menubuhkan satu kumpulan kerja yang akan mengkaji dan membincangkan perkara-perkara perundangan dan operasi bagi mengurangkan ketegangan di kawasan terbabit dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut.

Kumpulan kerja itu dikehendaki melapor kepada menteri-menteri luar kedua-dua negara dalam tempoh dua bulan.

- Bernama