Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching memberi jaminan pihaknya akan mengambil tindakan berhubung buku teks sekolah rendah yang didakwa mempunyai kandungan yang berunsur menyalahkan mangsa berhubung "penjagaan kehormatan anggota seksual".

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang mengutarakan perkara ini untuk perhatian saya.

"Mangsa tidak sepatutnya dipersalahkan. Tindakan susulan untuk membetulkan perkara ini akan diambil secepat mungkin.

"Diharap sama-sama kita boleh memberikan pendidikan yang betul kepada anak-anak kita," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

 

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh bersetuju dengan pandangan pengguna Twitter Azrul Mohd Khalib yang membangkitkan perkara itu.

Azrul sebelum itu memuat naik gambar dari buku teks yang memaparkan watak kanak-kanak perempuan bernama 'Amira' dan kepentingan "menjaga kehormatan anggota seksual".

Pada muka surat itu, digambarkan "cara" dan "kesan" penjagaan kehormatan anggota seksual.

Pada bahagian "cara", dinyatakan tiga perkara iaitu memakai pakaian sopan, menutup pintu bilik ketika menyalin pakaian dan tidak melalui jalan sunyi.

Pada bahagian "kesan" pula, dinyatakan tiga perkara iaitu mendapat malu dan emosi terganggu, tidak disukai rakan, dan maruah keluarga tercalar.

"Sikap menyalahkan mangsa tidak boleh diterima. Bukan saja ia meletakkan tanggungjawab mengelakkan gangguan seksual ke atas kanak-kanak perempuan itu, tetapi juga memberi gambaran bahawa dia turut merupakan faktor gangguan seksual terjadi.

"Memalukan kanak-kanak tidak boleh diterima," kata Azrul yang turut menujukannya kepada akaun Twitter Yeoh dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Yeoh mengulang ciap kenyataan Azrul dan berkata: Setuju. "Perkara ini perlu disemak semula"

Ciapan Azrul itu juga mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial lain, dengan rata-rata menyatakan pendapat serupa dan mempersoalkan sama ada buku teks berkenaan mengandungi pengajaran kepada kanak-kanak lelaki untuk menghormati wanita.

"Buku ni letak ‘tidak disukai rakan’ dan ‘maruah keluarga tercalar’ sebagai akibat dan kesan buruk pada mangsa sebab 'tak jaga diri'. Benda ni hanya akan buat budak taknak report sexual abuse yg berlaku pada mereka. Kita patut tunjuk kesan buruk pada orang yang ambil kesempatan," kata salah seorang pengguna media sosial.