Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lapor SPRM bukan balas dendam pada DAP - Sivarraajh

Bekas anggota parlimen Cameron Highlands C Sivarraajh hari ini tampil membuat satu laporan di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terdadap calon PH, M Manogaran berkaitan dakwaan amalan 'membeli' undi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Menurut Sivarraajh beliau membuat laporan SPRM kerana ingin menegakkan keadilan.

"Saya bukan nak balas dendam dengan sesiapa. Walaupun, saya dijadikan sebagai mangsa, saya tidak berniat balas dendam DAP. Adalah wajar bagi saya untuk mendapatkan keadilan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM, Putra Jaya.

Turut hadir Armand Azha, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Penerangan MIC V Gunalan, Ketua Penerangan MIC V Gunalan dan ahli-ahli MIC.

"Laporan saya adalah secara umum. Kita menerima laporan daripada orang ramai yang berkata terdapat amalan rasuah di PRU14 dan PRK Cameron, saya sebagai rakyat Malaysia untuk buat laporan kepada pihak berkuasa iaitu SPRM jika terdapat unsur-unsur rasuah dan salahguna kuasa," jelasnya.

Dalam laporan itu, Sivarraajh mendakwa Manogaran terlibat dalam politik wang yang merupakan kesalahan di bawah Bahagian III, Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Akta SPRM 2009.

Sivarraajh turut melaporkan kepada SPRM dakwaan ugutan seorang senator PH terhadap Tok Batin.

"SPRM sebagai sebuah agensi yang telus dan berkredibiliti, saya yakin mereka akan siasat kes ini dan membawa pesalah ke muka pengadilan," tegas Sivarraajh lagi.

Duit minyak

Merujuk kes petisyen calon DAP terhadapnya, Sivarraajh berkata mahkamah pilihan raya telah menegaskan 'tanpa mengira duit minyak atau duit rokok. Ia tetap rasuah.'

Sivarraajh juga mendakwa terdapat penyokong PH yang menerima 'duit minyak' untuk hadir pada hari penamaan calon.

"Saya ini hanya mencari keadilan untuk saya. Apapun keputusan dalam dakwaan ini, saya tetap tidak boleh bertanding atau mengundi. Saya sebagai 'pengganas' selepas dilucutkan hak mengundi di negara ini," ujarnya lagi.

Pada 30 November 2018, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan keputusan PRU14 bagi parlimen Cameron Highlands sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati amalan rasuah dilakukan bagi meraih sokongan pengundi di sana.

Hakim Azizah Nawawi berkata calon DAP, M Manogaran yang memfailkan petisyen telah membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan kepada BN.

Percanggahan niat penerima

"Wang itu diberikan sama ada secara terus oleh Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli atau melalui Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai, Wan Rosdy Wan Ismail (kini Menteri Besar Pahang) atau ejennya untuk mempengaruhi pengundi untuk memilihnya.

"Sehubungan itu saya mendapati bahawa amalan rasuah berjaya dibuktikan... saya dengan ini mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands diadakan pada 9 Mei lalu adalah terbatal.

"Saya akan mengesahkan keputusan ini kepada SPR dan melaporkan bukti amalan rasuah berjaya dibuktikan dan dilakukan dengan pengetahuan serta keizinan responden (Sivarraajh) ketika kempen pilihan raya iaitu pemberian wang untuk mempengaruhi pengundi memilihnya," kata hakim.

Mengikut petisyen itu, Manogaran mendakwa Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Wan Rosdy memberi rasuah antara RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi BN dan tidak mengundi calon lain.

"Saya tidak akan melaporkan mana-mana individu yang dibuktikan melalui perbicaraan petisyen ini, sebagai bersalah melakukan amalan rasuah kerana terdapat percanggahan keterangan saksi pempetisyen melalui keterangan mereka dalam mengenal pasti siapakah yang sebenarnya memberikan wang itu.

"Bagaimanapun, niat penerima adalah tidak relevan... saya berpandangan bahawa perlakuan pemberian itu yang perlu dibuktikan walaupun ada percanggahan kerana tiada keraguan wang itu diberikan kepada Orang Asli," kata hakim.

Azizah kemudian mengarahkan kerusi Cameron Highlands dikosongkan.

Mahkamah turut melucutkan hak Sivarraajh untuk bertanding dan mengundi selama lima tahun.

 

Lihat Komen
ADS