Polis Johor mengesahkan tiada kejadian rogol melibatkan seorang murid perempuan berusia tujuh tahun yang didakwa dilakukan tiga rakan sekelasnya di sebuah sekolah di bandar raya ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kejadian tersebut bukan seperti yang ditularkan, malahan pihaknya juga sudah menjalankan siasatan sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu.

“Setakat ini apa yang ditularkan sebenarnya, isunya, itu cerita pemeriksaan awal apabila mereka bawa (murid) kepada doktor. Namun, selepas pemeriksaan rapi dengan doktor pakar, memang tidak wujud apa yang ditularkan.

Dalam apa yang ditularkan, isunya bahawa pekerja sekolah nampak beberapa budak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan dalam bilik air. Siasatan rapi kita sedang buat, kanak-kanak itu juga dihantar mendapat laporan perubatan dan kita sudah dapat maklum balas bahawa tidak wujud insiden rogol,” katanya ketika ditemui pemberita di Johor Bahru hari ini.

Terdahulu, tular satu laporan polis berhubung kejadian rogol terbabit yang didakwa berlaku dalam bilik air di sebuah sekolah di bandar raya ini.

Menerusi laporan terbabit, kanak-kanak itu dibawa ibunya membuat pemeriksaan di sebuah hospital di sini dan berdasarkan keterangan ibunya, pihak sekolah memaklumkan anak perempuannya itu dijumpai berada di dalam tandas murid lelaki bersama tiga rakan sekelasnya oleh tukang cuci sekolah.

- Bernama