Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memproses tender baru bagi membeli 6,000 baju kali api bulan depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat bekalan baju kalis api yang "tidak selamat" kepada pasukan bomba di seluruh negara.

SPRM juga dikatakan telah merampas kira-kira 6,000 baju kalis api bermasalah pada 2017 yang menyebabkan anggota bomba dan penyelamat kekurangan pakaian memadam kebakaran dan terpaksa berkongsi baju kalis api "usang" atau menggunakan baju yang telah koyak.

"Kalau perkara ini serius, ia akan diangkat untuk dibincangkan, sebab tak ada baju dan sebagainya.

"Sekarang keadaan masih dalam terkawal, cuma kita lihat tender ini dua tahun lepas, sudah tiba masanya untuk tender baru dikeluarkan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri seminar berhubung penglibatan wanita dalam politik di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Jelas Zuraida, JBPM akan menerima baju kalis api yang baru dalam tempoh tiga bulan selepas tender berkenaan dikeluarkan pada Feb.

Bagaimanapun, Zuraida berkata beliau tidak pasti sama ada wujud unsur rasuah berhubung urusan pembelian baju kalis api sebelumnya yang kini dalam siasatan SPRM.

Harian Metro dalam laporannya menyatakan baju kalis api yang dirampas SPRM dibekalkan pada 2016 dan bernilai di antara RM2,400 ke 2,500 seunit.

Berikutan rampasan berkenaan, tempahan terhadap bekalan seterusnya juga dibatalkan.

Lihat Komen
ADS