Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas bilang poster, Annuar percaya PH belanja lebih had
Diterbitkan:  Jan 16, 2019 12:31 AM
Dikemaskini: 4:35 PM

PRK Cameron | Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa percaya Pakatan Harapan (PH) telah melebihi had perbelanjaan kempen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya kecil Cameron Highlands.

"Tadi jalan dari Lipis sampai sini, saya bilang jumlah poster. BN tak ada poster. Tapi bunting dan billboard dipasang oleh Harapan itu saya rasa kos dia pun dah melebihi had perbelanjaan pilihan raya. Itu obvious very lavish (itu jelas sangat mewah)," kata Annuar kepada wartawan di Tanah Rata malam ini.

Di bawah Seksyen 15A Akta Kesalahan Pilihan Raya, had perbelanjaan calon ialah sebanyak RM200,000.

Annuar berkata BN, sebaliknya kini "miskin" dan menghadapi kekangan dari segi sumber kewangan.

"Tapi itu bukanlah merupakan perkara paling penting. Yang penting kita mengadakan kempen rumah ke rumah, kita bercakap hati ke hati dan kita menyantuni hati rakyat," katanya.

Menurut Annuar, politik wang menular dalam kerajaan kerana mereka mempunyai wang dan keupayaan berbelanja.

"Kita pembangkang tak ada wang jadi tak ada politik wang. Orang berwang saja yang akan main politik wang.

"Saya fikir mungkin DAP sangat inginkan kemenangan di sini maka mereka setakat ini gagal mengawal jentera parti mereka sehingga mereka melanggar secara nyata beberapa peraturan pilihan raya.

"Walaupun mereka cuba mencari alasan tapi dah jadi public Knowledge (pengetahuan umum)," katanya.

Beliau berkata sebagai bekas kerajaan, BN juga pernah melalui perkara yang sama tetapi kini bertekad untuk meninggalkan amalan sedemikian.

"Kita melaksanakan renaissance atau pembaharuan kepada diri kita dan kita tidak akan melakukan apa-apa tindakan yang kita anggap tidak selari dengan peraturan dan norma amalan pilihan raya yang baik.

"Jadi biarlah pihak kerajaan menjawab apa mereka lakukan," katanya.

Lihat Komen
ADS