Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kadar parkir bebankan penduduk Cameron Highlands'
Diterbitkan:  Jan 16, 2019 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Kadar bayaran tempat letak kenderaan di Tanah Rata yang dilaksanakan sejak 1 Okt lepas amat membebankan penduduk setempat, kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands M. Manogaran.

Katanya, beliau menerima pelbagai aduan daripada penduduk yang mendakwa kadar bayaran terlalu tinggi bagaikan berada di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Kadar bayaran tetap bulanan dikenakan sehingga RM80, manakala di bandar Kuantan hanya RM52 sebulan. Penduduk juga terpaksa membayar parking setiap hari, tiada hari pengecualian. Kebiasaannya hari Ahad adalah parking percuma, tapi sini (Kea Farm, Brinchang, Tanah Rata) kita perlu bayar.

"Justeru, saya menggesa Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) agar menimbang perkara ini yang jelas tidak memihak kepada kebajikan penduduk setempat," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Ponggal di Kuil Sri Subramaniyar, semalam.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata Chiong Yoke Kong.

Manogaran turut mendakwa anggota MDCH yang baru dilantik pada 27 Dis lepas tidak memahami masalah rakyat setempat memandangkan kebanyakan yang dilantik bukan dari kawasan Cameron Highlands.

"Chiong juga telah banyak kali mengutarakan perkara ini namun mereka masih membisu. Apakah jalan penyelesaian kepada permasalahan ini. Dengan ini, saya juga mencabar Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk masuk campur dan segera memberi perhatian serius bagi isu ini. Tidak lupa penyelesaian kepada status tanah pemilikan sementara (TOL)," katanya.

PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen itu terbatal dan tidak sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH dan BN serta dua calon Bebas.

Calon-calon itu ialah Manogaran, 60, yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang, bekas pegawai kanan polis Mohd Ramli Nor, 61, bagi BN dan bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, serta petani Wong Seng Yee, 40, masing-masing sebagai calon Bebas.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi, menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi).

-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS