Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan tidak akan dipinda.

Beliau juga menyifatkan tindakan 10 menteri kabinet menghantar memorandum kepadanya selaku perdana menteri, berhubung soal penukaran agama sebagai 'luar biasa' dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, ini kerana sebelum ini, sebarang masalah akan dibincang dalam mesyuarat kabinet dan beliau tidak faham mengapa mereka bertindak demikian.

Bercakap kepada pemberita, perdana menteri berkata, Perkara 121 (1A) tidak akan dipinda manakala kedudukan mahkamah sivil dan mahkamah syariah kekal sama taraf seperti sekarang.

Isu tersebut tercetus berikutan timbul soal status wira Everest M Moorthy yang menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah memeluk Islam, manakala keluarganya bertegas bahawa anggota tentera itu beragama Hindu.

Berikutan itu, berlaku perebutan mayat Moorthy di antara pihak Jawi yang mahu mengkebumikannya secara Islam manakala isterinya S Kaliammal mahu mensemadikan mayatnya mengikut agama Hindu.

Manakala Mahkamah Tinggi Syariah pula telah memutuskan bahawa Moorthy beragama Islam dan seterusnya jenazahnya dikebumikan secara Islam.

Kaliammal telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Moorthy adalah penganut agama Hindu.

Bagaimanapun, mahkamah tersebut memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan itu atau mencampuri keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah tersebut.

PM: 'Kawal emosi'

Sementara itu, perdana menteri berkata, peguam negara juga sedang memberi perhatian kepada perkara tersebut dan telah berjumpa dengan pelbagai pihak untuk berbincang mengenainya.

"Hasil perbincangan itu, akan dikemukakan kepada jemaah menteri, melalui saya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya membincangkan perkara tersebut secara objektif serta mengawal emosi mereka.

"Kita harap bincang secara objektif...tidak emosional, tidak ungkit perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti rakyat, kaum atau agama.

"Soalnya, cara kita bertindak dan bercakap, itulah yang penting...kalau salah bertindak, salah cakap, terlalu emosi, maka akan timbul suasana yang tidak baik yang tidak ingin kita lihat....," tegas perdana menteri.

Sementara itu, Pemuda Umno turut menyelar tindakan 10 menteri kabinet menghantar memorandum tersebut kepada perdana menteri.

Selepas mengadakan mesyuarat khas di Putrajaya hari ini, Exco Pergerakan itu, Datuk Firdaus Ismail menyifatkan tindakan 10 menteri tersebut menggambarkan mereka seolah-olah 'tidak ada' dalam barisan kabinet yang berpegang dan akur kepada tanggungjawab bersama.

Pergerakan itu juga mempersoalkan mengapa menteri-menteri berkenaan tidak menggunakan saluran sedia ada seperti mesyuarat kabinet dan mesyuarat Barisan Nasional (BN) untuk membangkitkan soal tersebut.

Di samping itu, Pemuda Umno juga, kata Firdaus melihatkan tindakan menteri-menteri berkenaan, telah merendahkan martabat mereka sebagai menteri kabinet.

Katanya, tindakan itu juga tidak telus sehingga menimbulkan prasangka seolah-olah mereka mempertikaikan kedudukan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, Pergerakan Pemuda Umno akan mempertahankan kesucian agama Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak mencemarinya.

PAS hantar memorandum

Petang tadi, PAS telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung isu yang sama.

Parti itu menyifatkan memorandum oleh 10 menteri berkenaan yang merayu kepada perdana menteri supaya menyemak semula undang-undang berhubung pertukaran agama sebagai 'cabaran secara langsung terhadap Islam".

"Kita tidak bersetuju dengan tindakan 10 menteri itu. Apakah tujuan mereka berbuat demikian sedangkan perkara tersebut boleh diselesaikan sewaktu mesyuarat kabinet? Ini bermakna mereka mencabar Perlembagaan Persekutuan," kata Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Hatta Ramli diikuti sorakan kira-kira 500 orang yang menyertai tunjuk perasaan itu.

Tunjuk perasaan secara aman itu bermula selepas selesai sembahyang Jumaat di Masjid Negara. Orang ramai yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PAS Muhammad Sabu, berarak dan berhimpun di Menara Tun Razak.

Selepas itu, Salahuddin, yang juga yang juga ahli Parlimen Kubang Krian, menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Hamdan Adnan, menggesa Suhakam supaya bertindak melindungi hak orang Islam.

Antara isu-isu yang dibangkitkan dalam memorandum tersebut ialah:

Status kelas kedua sistem perundangan syariah kerana tidak terdapat Peguam Negara khusus untuk Mahkamah Syariah

Kanun Keseksaan mengatasi undang-undang jenayah Islam

Kabinet menghalang pihak berkuasa Islam menubuhkan 'skuad intipan'

Mengulas mengenai memorandum tersebut, Hamdan berkata, pesuruhjaya Suhakam akan bermesyuarat Isnin ini bagi membincangkan isu-isu mengenai soal bertukar agama dan akan mengemukakan hasilnya kepada pihak-pihak berkuasa berkenaan.

Manakala Pergerakan Wanita Umno pula mempunyai pendirian yang berbeza berhubung tindakan 10 menteri kabinet menghantar memorandum kepada perdana menteri.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Rafidah Aziz menyifatkan tindakan tersebut bersesuaian bagi menyatakan pandangan pihak bukan Islam dalam perkara tersebut.