Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu bangunan salib: Mujahid lemah pertahan Islam, dakwa PAS
Diterbitkan:  Jan 16, 2019 3:42 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

PAS menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa tidak tegas dan berdolak-dalik dalam mengendalikan isu lambang salib di Grace Residence, di Jelutong di Pulau Pinang.

Ketua penerangan parti itu Nasrudin Hassan menggesa menteri hal ehwal agama itu supaya tidak menjadi defensif sehingga dilihat lemah mempertahankan kepentingan Islam.

"Namun, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) semalam dilihat tidak tegas dan berdolak dalih.

"PAS mendesak menteri agama tegas membendung perkara ini. Jangan terlalu defensif sehingga beliau dilihat lemah untuk mempertahankan kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Nasrudin isu lambang salib di bangunan kediaman tersebut sudah lama tular di media sosial.

"Ia turut dikecam oleh ramai penggiat media sosial. Malah, isu ini telah ditegur oleh Mufti Pulau Pinang," katanya lagi.

Cuba bodohkan rakyat

Nasrudin juga menolak penjelasan ketua menteri Pulau Pinang dan pihak pemaju, menyifatkan kenyataan kedua-duanya sebagai "memperbodohkan rakyat" dan "cuba mencetuskan ketegangan kaum serta agama."

"PAS meneliti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang dan pihak pemaju Nova Mulia Development Sdn Bhd beberapa hari lalu.

"Kedua-dua kenyataan tersebut cuba memperbodohkan rakyat.

"Mereka cuba mencetuskan provokasi dan ketegangan kaum serta agama di Malaysia. Lambang salib sebesar itu sengaja dipaparkan, walhal mereka perlu menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini," dakwanya.

Semalam Mujahid dilaporkan Utusan Online berkata masih menunggu laporan daripada kerajaan negeri dan pejabat mufti Pulau Pinang mengenai bangunan perumahan kontroversi itu.

“Kita perlu lihat kepada isunya, adakah sengaja dibuat untuk menimbulkan keresahan orang ramai atau tidak, apakah dibuat secara bermotif untuk menimbulkan kebencian, sensitiviti atau sekadar strukturnya memang begitu rupa," jelasnya.

Terdahulu, jurucakap Nova Mulia Development Sdn Bhd pada 14 Januari menjelaskan oleh kerana gambar diambil ketika bangunan itu masih belum siap sepenuhnya, ia kebetulan kelihatan seperti salib.

“Mungkin bila gambar diambil, cahayanya menunjukkan salib. Tetapi cahaya itu sepatutnya bukan untuk menunjukkan salib,” katanya yang menjelaskan bangunan Grace Residence di Jelutong, Pulau Pinang sepatutnya menunjukkan abjad Cina (王) bermaksud wang (raja) atau ong (nasib baik), kata pemaju.

Pada hari yang sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menjelaskan bangunan yang menjadi kontroversi di media sosial itu sudah tidak lagi memaparkan cahaya berbentuk salib.

Terdahulu, gambar bangunan berkenaan tular di media sosial kerana pencahayaan dari bangunan itu memaparkan lambang salib.

Pihak yang berang dengan perkara itu sudah membuat laporan polis.

Susulan itu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menggesak pihak berkuasa tempatan menyelesaikan isu berkenaan.

Lihat Komen
ADS