Semua pemilik anjing di Taiping dan Bukit Gantang ditegah daripada membawa keluar mana-mana anjing dari daerah Larut, Matang dan Selama tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak.

Pengarahnya, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata langkah berkenaan susulan keputusan Kerajaan Negeri mewartakan daerah berkenaan sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila atau rabies yang berkuatkuasa Isnin lepas (14 Jan).

"Adalah ditegaskan bahawa mana-mana anjing yang dijumpai berada dalam kawasan jangkitan tanpa mematuhi langkah itu akan berdepan risiko dimusnahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata seperti yang termaktub dalam Perintah Pemvaksinan Pencegahan Penyakit Anjing Gila, semua anjing berumur tiga bulan dan ke atas yang berada dalam kawasan Mukim Taiping dan Bukit Gantang perlu diserahkan kepada pihak berkuasa veterinar untuk disuntik dengan vaksin penyakit anjing gila sebagai membantu untuk mengawal penyakit rabies daripada terus merebak.

Katanya, di bawah Akta Binatang 1953 (Semakan - 2006) dan (Pindaan) 2013, mana-mana pemilik anjing yang didapati tidak mematuhi langkah-langkah kawalan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih tiga bulan.

"Pihak jabatan amat mengharapkan kerjasama orang ramai di Mukim Taiping dan Mukim Bukit Gantang untuk memastikan anjing peliharaan mereka mendapat suntikan vaksin rabies kerana penyakit ini boleh merebak daripada haiwan kepada manusia melalui air liur akibat gigitan atau terkena pada luka yang terbuka," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Shafri berkata semua pemilik diminta mengurung anjing dan kucing peliharaan masing-masing bagi mengelak berlaku gigitan daripada anjing berkeliaran yang dikhuatiri telah dijangkiti rabies.

"Buat masa ini elakkan daripada mendekati anjing berkeliaran. Sekiranya berlaku gigitan, bersihkan luka dengan sabun dan jangan berlengah untuk mendapatkan rawatan di klinik kerajaan," katanya.

Menurut Ahmad Shafri, setakat ini empat kes positif rabies telah dikesan di kawasan Taiping dengan satu kes dikesan melalui ujian terhadap seekor anjing yang menggigit manusia manakala tiga lagi dikesan melalui ujian terhadap anjing yang berkeliaran di kawasan sekitar kes gigitan itu berlaku.

Beliau berkata, orang ramai diminta melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan atau Pejabat Veterinar jika terdapat anjing berkeliaran di sekitar kediaman masing-masing atau mana-mana kawasan.

Katanya, untuk sebarang aduan dan pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Larut Matang dan Selama di talian 05-8072703.

- Bernama