Negeri Sembilan tuan rumah sambutan Tahun Baru Cina 2019
Negeri Sembilan telah dipilih sebagai tuan rumah sambutan Tahun Baru Cina 2019 peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Dataran Centrio, Seremban 2 di Seremban pada 17 Februari ini.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan menteri kabinet adalah di antara 15,000 orang yang dijangka hadir pada sambutan tersebut.
"Ini adalah julung kalinya Negeri Sembilan menjadi tuan rumah pada sambutan itu. Saya mengalu-alukan Negeri Sembilan dipilih sebagai tuan rumah sambutan tersebut yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan pusat.
"Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pemilihan ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri di Seremban, hari ini.
Katanya pelbagai program sedang disusun atur dari pagi sehingga ke malam untuk memeriahkan sambutan itu.
Beliau turut mengalu-alukan masyarakat dari pelbagai kaum untuk sama-sama hadir bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina yang penuh bermakna yang pertama kali dianjurkan oleh Pakatan Harapan pusat.
"Jadi, ini satu penghormatan kepada rakyat Negeri Sembilan dan insya-Allah, kita akan sambut dengan jayanya dan saya harap semua masyarakat dapat hadir pada sambutan tersebut yang bermula dari pagi hingga ke malam pada hari berkenaan," katanya.
Kadar baru bayaran masuk kolam renang awam
Sementara itu, mengenai rungutan orang ramai tentang kenaikan kadar bayaran masuk kolam renang awam kendalian Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di Kompleks Sukan Negeri Paroi, beliau berkata kerajaan negeri akan menilai semula kenaikan kadar bayaran masuk kolam renang awam itu.
"Kita akan berbincang dengan MPS dan kita akan lihat semula kenaikan kadar bayaran masuk itu dan mengambil pendekatan menang-menang dalam perkara ini.

"Kita nak lihat, apakah apabila ada kenaikan ini MPS mampu membuat nilai tambah dari segi kemudahan, keselamatan, kebersihan dan sebagainya.
"Kita sedia maklum tempat tersebut adalah kolam renang awam yang sepatutnya memberi kemudahan kepada masyarakat. Jadi, kita akan kaji semula kenaikan itu," katanya.
Aminuddin berkata kenaikan kadar bayaran masuk itu bermula 1 Jan lepas dan perkara itu telah diputuskan pada mesyuarat penuh MPS.
Katanya pada hari biasa untuk kanak-kanak dikenakan bayaran daripada RM1.50 kepada RM3 dan pada hari Sabtu, Ahad dan cuti am daripada RM2.50 kepada RM4, manakala dewasa daripada RM3 kepada RM4 pada hari biasa dan pada hari Sabtu, Ahad dan cuti am daripada RM3.50 kepada RM5.
"Kalau dibanding dengan kadar bayaran masuk kolam renang awam di tempat lain, ianya masih rendah lagi. Malah, kadar bayaran masuk tidak dinaikkan sejak 2007.
"Kenaikan kadar bayaran masuk adalah untuk menampung kos penyelenggaraan yang semakin meningkat. Kos selenggara dan seliaan kolam renang awam ini adalah di antara RM40,000 hingga RM45,000 sebulan.
"Selain daripada menampung kos selenggara dan seliaan, kita harapkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan yang menggunakan kolam renang tersebut seharusnya bertambah baik dan dapat memuaskan hati pelanggan," katanya.
- Bernama

