Anggota Exco Perak A Sivanesan memfailkan saman fitnah terhadap seorang pelang, akhbar The Star, dan Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Saman itu membabitkan dua artikel yang diterbitkan di The Star yang melaporkan peladang di Kampung Baru Kuala Bikam yang melahirkan kebimbangan mereka berhubung tanah pokok buah-buahan seluas lebih 76.9 ha telah dibersihkan oleh sebuah syarikat perlombongan pasir.

Artikel itu juga memuatkan ulasan Wee mengenai perkara berkenaan.

Peladang Poh Wai Sheng, 30 tahun dinamakan sebagai defendan pertama.

The Star, timbalan editor eksekutif Foong Pek Yee, dan Wee dinamakan sebagai defendan kedua, ketiga dan keempat.

Sivanesan mendakwa bahawa beliau mempunyai masalah dengan artikel-artikel yang bertajuk Farmers angered as farms are bulldozed dan Wee: Farmers who lost their farmland deserve answer.

Kedua-dua artikel berkenaan telah diterbitkan pada 4 Ogos 2018.

Menurut Sivanesan, pentadbiran negeri BN sebelum ini telah memberikan permit kepada Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd untuk mengangkut pasir silika ke luar dari kampung itu.

Dakwanya, kawasan perlombongan pasir itu telah diduduki oleh peladang yang mengendalikan ladang secara haram.

Mereka dikatakan enggan meninggalkan tanah itu apabila diminta berbuat demikian oleh syarikat perlombongan, kata Sivanesan, yang juga naib presiden DAP Perak.

Exco itu mendakwa bahawa laporan berita berkenaan memberi gambaran bahawa beliau adalah seorang yang tidak mampu menunaikan janjinya, dan oleh itu tidak layak untuk memegang jawatan awam.

Beliau juga mendakwa bahawa artikel itu juga memberi bayangan kepada orang ramai bahawa DAP tidak bertanggungjawab.

Pada Ogos 2018, Sivanesan telah menghatar notis tuntutan kepada Poh dan Foong untuk menarik balik kenyataan mereka.

Sivanesan, melalui peguamnya, juga meminta Foong memohon maaf dan membayar pampasan kepadanya.

Beliau turut memohon ganti rugi am dan ganti rugi teladan daripada defendan.

Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk mengarahkan mereka untuk menarik semula artikel yang dipersoalkan.

[Baca berita penuh]