Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menyelamatkan TH: Rangkuman dan jawapan kepada kekeliruan

ULASAN | Proses baik pulih Lembaga Tabung Haji (TH) sudah bermula, dengan pemindahan aset kurang untung dan ruginya berganti pegangan sukuk dan saham keutamaan boleh tebus - Islamik (RCPS-I) dari syarikat SPV khas, Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) yang mewakili kerajaan Malaysia.

Walaupun proses itu bukanlah suatu yang ideal, ia tindakan paling sesuai buat masa ini bagi menyelamatkan TH dan agar TH boleh terus memberi hibah kepada kira-kira 9.3 juta pendepositnya.

Pengurusan TH juga bakal diperkukuhkan. Ini berita baik buat pendeposit dan seluruh umat Islam. Ada yang tidak sedar yang TH ibarat syurga simpanan buat orang kaya bimputera Muslim, tetapi urus tadbir yang lemah dan salah laku boleh memendekkan hayatnya.

Kelemahan yang perlu diperbaiki

Setiap sen simpanan pendeposit dijamin kerajaan, berbeza dengan simpanan di bank yang mana ada had RM 250 ribu yang dijamin Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Ini menyebabkan orang kaya berduyun-duyun menyimpan di TH. Ia baik untuk penyimpan tapi kurang mampan untuk TH.

Tambahan pula TH sebelum ini - walaupun dalam keadaan liabiliti melebihi aset dan melanggar aktanya - secara konsisten memberi hibah yang tinggi iaitu pada kadar 6.25 – 8.25 peratus tahun 2013 -2017. Ia jauh melebihi kadar keuntungan tiga peratus oleh akaun simpanan tetap oleh bank. Walaupun pemberian hibah tinggi adalah amalan terpuji dan disukai oleh penyimpan, tetapi ia bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995 serta dilaksanakan dengan cara yang kurang beretika serta boleh menjerumuskan masa depan TH ke dalam ketidaktentuan dan bahaya.

Menurut laporan PriceWaterhouseCoopers (PWC) ia antaranya menggunakan:

  • Kaedah penciptaan keuntungan ‘palsu’ sebanyak RM553 juta hasil penjualan saham BIMB yang RM 2.551 bilion, sedangkan ia dibeli semula empat hari (atau dipanggil contra trading) kemudian dengan harga sama. Pengurusan kononnya bijak mengurus dan mencipta keuntungan, padahal ia hanya di atas kertas dan hakikatnya TH menanggung rugi kerana terpaksa membayar kos upah sehingga RM36 juta kepada broker.
  • Benar, cara ini ada kala digunakan oleh sebahagian institusi dan syarikat besar serta dianggap tidak salah, tetapi ia tidak beretika. Dalam kes TH, ia digunakan bagi melanggar Akta Tabung Haji dan mededahkan TH kepada risiko jangka panjang serta menutup kelemahan pengurusan. Institusi dan syarikat mungkin ada campuran dana pemegang saham, tetapi TH tiada dana pemegang saham.
  • Hasil pengisytiharan dividen oleh anak-anak syarikat sebanyak RM510 juta yang hakikatnya tidak dibayar sepenuhnya oleh anak syarikat terbabit sehingga akhir tahun 2017.
  • Merekodkan deposit penyimpan sebagai rizab yang termasuk dalam kategori aset sedangkan hakikatnya ia adalah liabiliti.

Selain itu, simpanan TH juga bersifat demand deposit iaitu pendeposit boleh memasukkan atau mengeluarkan simpanan tanpa had harian jika menggunakan pengeluaran cek dan pemindahan telegrafik (TT). Ia berbeza dengan dana bawah PNB yang mengehadkan pengeluaran sebanyak RM250,000 untuk menjaga tabungannya.

Simpanan tanpa had menjadikan TH ‘terdedah’, contohnya jika seorang pendeposit besar menarik keluar wang mereka, maka akan berlaku pengurangan besar dalam tabungan yang pastinya mencetuskan panik. Menurut statistik, 1.3 peratus - sekitar 117,000 penyimpan TH - menyumbang sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan RM74 bilion deposit.

Justeru TH sebaiknya mengkaji dasar had pengeluaran dan had simpanan pendeposit untuk masa akan datang.

Lebih serius, pendeposit TH sebelum ini dengan mudah boleh terlepas daripada lensa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram kerana ia tidak diregulasi Bank Negara Malaysia (BNM). Etika pengurusan kewangan dan rizab juga diuruskan secara sendiri.

Jauhkan unsur Pak Man Telo

Maka pada 2017 rizab statutori TH hanya sekitar RM70 juta berbanding simpanan pendeposit sebanyak RM70 bilion - 0.1 peratus berbanding liabiliti. Ini sama sekali tidak sihat. Jika menurut piawaian perbankan, nisbahnya perlu pada kadar empat peratus atau sekurang-kurangnya 2.5 peratus.

Ini perlu diperbaiki agar pengurusan dana menjadi lebih kukuh. Duit rizab pula mesti daripada hasil keuntungan operasi TH dan bukannya dari wang pendeposit. Inilah antara sebab BNM diminta menyelia TH agar dapat memastikan rizab yang sihat serta peratusan pelaburan ekuiti dan dalam instrument berisiko tinggi berbanding simpanan berada pada tahap peratusan yang sihat dan tidak terlalu tinggi sebagaimana yang berlaku ketika pengurusan sebelum ini.

Menurut laporan PWC dan pengurusan terkini, TH pernah memberi hibah menggunakan wang pendeposit, bukannya daripada lebihan keuntungan. Inilah unsur Pak Man Telo atau skim cepat kaya yang kita ingin jauhkan daripada operasi TH.

Semua perkara ini boleh jadi resepi kehancuran TH untuk jangka masa panjang dan menjadikannya sasaran salah laku kerana kurang pemantauan. Ia mesti dan bakal diperbaiki oleh pengurusan terkini, kerajaan juga mesti menghulurkan bantuan kerana semuanya dijamin oleh kerajaan juga.

Kita juga patut bersyukur apabila pengurusan TH terkini yang mengambil tindakan ke atas pengurusan yang lalu. Mungkin oleh kerana kurangnya pemantauan dan regulasi, berlakulah salah guna kuasa dan penyelewengan urusan kewangan dalam pengurusan lama.

CEO Tabung Haji, Zukri Samat

Laporan polis telah dibuat. Sebahagian perincian kesalahan mungkin belum boleh didedahkan kepada awam disebabkan prosedur perundangan. Apa pun bagi orang awam dan umat Islam yang mencarum dan pencinta Islam, ini sepatutnya meningkatkan kelegaan kita. Tindakan menghebahkan salah laku pentadbiran lalu juga membawa kebaikan kerana ia bukti ketelusan dan sifat tidak kompromi pentadbiran semasa.

Tiada kesalahan yang boleh diselindung atas apa jua nama - menteri, kaum atau agama. Pendedahan terbuka juga untuk memastikan keyakinan awam terhadap TH ditingkatkan. Pada hemat saya, kurang tepat untuk mendakwa pendedahan terbuka ini meruntuhkan imej Islam, malah ia mencantikkan institusi ini daripada salah guna kuasa dan seterusnya meningkatkan reputasi TH sendiri.

Menyelematkan aset, buku TH

Selain apa yang telah disebutkan, saya juga menelaah sedalam mungkin isu dan fakta transaksi pemulihan TH daripada sumber berautoriti dan berwibawa. Ini kesimpulan saya:

Kenapa perlu pindahkan aset sedangkan sebahagiannya kelihatan berharga?

Semua aset ini jika masih dikekalkan dalam ‘buku’ TH, ia bakal menjadikan tanggugan (liabiliti) TH melebihi asetnya. Akibatnya, menurut Akta Tabung Haji, TH tidak boleh memberikan hibah kepada pendeposit walaupun mempunyai keuntungan operasi.

TH telah melaporkan liabiliti setakat 31 Disember 2017 adalah sebanyak RM74.4 billion berbanding aset keseluruhan sebanyak RM70.3 billion, iaitu defisit RM4.1 billion.

Antara puncanya adalah keuntungan TH daripada operasi perniagaan - termasuk seluruh anak-anak syarikat serta syarikat bersekutu dan pelaburannya - tidak cukup untuk mendahului tanggungan (liabiliti) TH. Selain itu, peningkatan liabiliti juga ekoran penurunan dan kekurangan keuntungan aset ekuiti kerana pasaran saham yang tidak memberangsangkan.

Benar, kelemahan pasaran saham memainkan peranan dalam permasalahan akaun TH dan meningkatnya liabilitinya, namun itu bukan satu-satunya penyebab kerana kerugian amat banyak dicatatkan juga oleh anak syarikat yang tidak tersenarai, hartanah dan lain-lain.

Maka bagi membolehkan TH meningkatkan jumlah aset serta melupuskan aset kurang untung yang telah menambahkan liabilitinya, proses pemindahan aset kepada pihak luar diperlukan segera. Jika tidak TH akan gagal memberikan apa-apa hibah yang boleh menyebabkan masalah lebih besar kepada kelangsungan TH sendiri - risiko berlakunya ‘bank run’ atau pengeluaran besar-besaran.

Tanpa proses ini, TH dijangka tidak mampu memberikan sebarang dividen sepanjang lima tahun akan datang kerana kejatuhan nilai saham - tersenarai dan juga tidak tersenarai di bursa - dan hartanah milik TH juga tidak dijangka pulih dalam masa hanya dua hingga empat tahun.

Misalnya, bayangkan saham seperti Felda Global Ventures (FGV) yang dahulunya bernilai RM4.40 telah jatuh kepada 93 sen. Untuk rekod, TH sebelum ini memiliki 283 saham FGV.

Lihat pula syarikat yang 99.75 peratus dimiliki TH iaitu TH Heavy Engineering Bhd. Sahamnya menjunam daripada RM0.90 pada 2014 kepada RM0.04 pada 4 Januari 2019. Ada lebih 100 syarikat pegangan TH yang jatuh teruk dan kekal jatuh melebihi 20 peratus berbanding harga belian.

Berapa lama masa yang perlu diambil untuk menunggu nilai saham FGV, dan nilai semua 106 syarikat ini, untuk naik semula ke paras harga belian ataupun melebihinya? Sudah tentu sukar membayangkan ia akan pulih dalam masa tiga atau empat tahun ini.

Justeru aset sekuriti seperti ini mesti dikeluarkan daripada 'buku' TH.

Memang boleh difahami tindakan melepaskan pegangan ke atas aset ini sesuatu yang pedih namun tiada pilihan terbaik pada masa ini. Kaedah sama pernah dilakukan Danaharta malah Felda juga mungkin akan melaksanakannya pada masa akan datang.

Apa yang penting, aset itu dijual kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd yan mewakili kerajaan. Ia bukan hak mutlak menteri kewangan.

Malah menurut maklumat sahih yang saya perolehi, semua aset dipindah dengan harga yang sangat bagus berbanding harga pasaran yang terlalu rendah. Menurut kiraannya sebahagian aset tersebut dipindahkan kepada Urus Jemaah Sdn Bhd pada kadar purata premium 55 peratus, lebih tinggi daripada harga semasa.

Antara pegangan ekuiti TH yang jatuh nilai semenjak tiga tahun lepas yang akan dilepaskan kepada Urus Jemaah adalah UEM Sunrise Bhd, Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Alam Maritim Resources Bhd, Mah Sing Group Bhd, UEM Sunrise Bhd, FGV Holdings Bhd, Brahim’s Holdings Bhd, Puncak Niaga Holdings Bhd, Parkson Holdings Bhd, White Horse Bhd, MCT Bhd, MMC Corp Bhd, Suria Capital Holdings Bhd, Axiata Group Bhd, Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd.

Pegangan ini mengalami kemerosotan nilai pada kadar 20 peratus hingga 93.5 peratus dan ia kekal begitu selama tiga tahun.

CEO TH Zukri Samat juga menyatakan Tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli dengan harga RM 198 juta masih terbiar kosong tanpa sebarang hasil kepada TH, dan sebab itu ia dipindahkan ke SPV dengan harga sekitar RM400 juta. Semua harga pemindahan ini termasuk dalam kiraan penerbitan sukuk, tiada tunai tetapi dalam bentuk ‘receivable’ kepada TH hasil pemegangan sukuk kelak.

Kenapa tidak jual kepada pihak luar dengan keuntungan lebih tinggi?

Sudah tentu langkah ini bakal mengambil masa malah amat sukar mendapatkan pembeli yang sanggup membeli dengan harga premium berbanding daripada harga pasaran aset terbabit. Malah TH juga memindah milik kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd sebagai jalan selamat daripada membiarkan semua pegangan aset menjadi milik pihak luar yang mungkin hanya memikirkan keuntungan, berbeza dengan SPV yang mewakili kerajaan Malaysia yang juga penjamin kepada deposit.

Apa akan terjadi selepas selesainya pemindahan kepada Urusharta Jemaah?

Dengan sempurnanya pemindahan aset kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB), syarikat itu akan menerbitkan Sukuk bernilai RM10 billion berkupon sifar dengan tempoh matang tujuh tahun. Ini bermakna di akhir tahun ketujuh, TH layak menerima penebusan bernilai RM14.1 bil (menurut kiraan lima peratus setahun). RCPS-I juga diterbitkan pada nilai RM 9.9 billion. Kesemua sukuk dan RCPS-i yang bakal dipegang oleh TH ini bakal menyaksikan ia memasuki buku TH sebagai ‘receivable’ atau aset bernilai RM 19.9 billion.

Jelas, transaksi ini akan meningkatkan jumlah aset dan pada masa sama melepaskan sejumlah besar aset berliabiliti tinggi kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Hasilnya, TH dijangka dapat menyaksikan lebihan aset berbanding liabiliti pada masa terdekat yang membolehkan ia memberikan hibah dan seterusnya memulakan proses pemulihan dengan menumpukan perhatian kepada aset-aset yang terbaik sahaja.

Adakah hibah dan dividen oleh TH?

TH mengumumkan dividen tetap ada tetapi dengan kadar yang lebih rendah

Zukri Samat menyatakan dalam PC hari ini, akan ada dividen tetapi ia bakal menyaksikan kadar yang rendah kerana TH seolah-olah baru sedikit pulih dari demam. Saya menjangkakan TH mungkin mampu memberi sedikit hibah iaitu pada kadar 1-2 peratus (bukan dengan wang pendeposit). Walaupun rendah, ia sudah dikira permulaan yang baik, dengan urusan yang lebih telus, bersih dan semua akaunnya diperkemas semula. Tiada guna hibah yang tinggi sedangkan ia bakal membahayakan kelangsungan TH disebabkan tadbir urus yang berkecamuk.

Adakah SPV ini boneka parti tertentu?

SPV yang bernama Urusharta Jemaah Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan hasil perbincangan panjang lebar dengan TH dan semua yang terlibat sepenuhnya dikuasai oleh orang Islam. Ia jelas apabila empat orang ahli lembaga pengarahnya adalah terdiri daripada kalangan Muslim yang merupakan pegawai tinggi di Kementerian Kewangan iaitu Rashidah Sies, Mohd Hassan Ahmad, Imri Dolhadi Abd Wahab dan Mohd Shukri Hussin (wakil yang bukan dari Kementerian).

Justeru pada hemat saya semua aset yang dipindahkan kepada SPV kini di bawah kuasa ahli lembaga pengarah ini untuk menentukan pembeli aset-aset yang dipindahkan kelak.

Bagi mempastikan aset strategik yang dipindahkan itu benar-benar diyakini diurus dengan telus tanpa sebarang kongkongan atau campurtangan Menteri sebagaimana yang kerap dimomokkan oleh sebahagian orang, saya mencadangkan agar ditambah lagi ahli Lembaga Pengarah dari kalangan pihak luar Kementerian Kewangan bagi memberikan keyakinan untuk mengimbangi sebarang keputusan SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd itu kelak.

Selain itu, jika tiba-tiba TH atas apa jua sebab merasakan ingin menguasai Urusharta Jemaah, mereka boleh berbuat demikian dengan menukarkan RCPS-I kepada saham pegangan terhadap syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd dan sekaligus menjadi pemegang saham terbesar.

Ini kerana RCPS-I memberi pilihan kepada TH untuk memegang dan menunggu Urusharta Jemaah menebuskan dengan tunai, atau TH boleh menukarkannya kepada pegangan utama dalam syarikat itu. Namun itu bukan pilihan baik kerana memiliki SPV itu bermakna meletakkan akaun dan seluruh liabiliti yang dipindahkan sebelum ini kembali ke akaun disatukan di bawah kumpulan TH.

Maka liabiliti bertambah semula, kecuali jika majoriti aset yang itu telah pulih sebelum tempoh 7 tahun, maka itu mungkin dilakukan.

Atas sebab ini saya tidak merasakan sesiapa jua perlu menjadi terlalu sensitif tidak bertempat dan bersangka buruk dalam hal pemindahan aset ini kerana ia didasari keputusan korporat yang ingin membantu TH dan seluruh pendeposit dan bukannya ingin menjatuh dan merosakkan TH.

Akhir sekali, tulisan saya berdasarkan kajian dan temuramah pihak berkuasa yang sepenuhnya atas semangat korporat dan memulihkan TH serta keinginan penuh untuk memberi gambaran sebenar bagi memulihkan TH. Saya tidak melihat data dan fakta daripada perspektif politik kepartian dan simpang siur bacaan politik.

Ini kerana langkah-langkah yang diambil atas dasar menyelamat dan memulihkan TH, bukan menjatuhkannya. Jika ada kesilapan, saya terbuka untuk dibetulkan, namun setiap fakta dan data dalam tulisan ini telah disemak sebaik mungkin dari sumber-sumber autoriti.


DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid), pakar kewangan Islam dan profesor adjunct Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Unisel. Rencana ini asalnya disiarkan pada akaun Facebook beliau.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS