Malaysia telah menyerahkan surat kepada Perancis menjelaskan pendiriannya berhubung keputusan Dewan Negara Perancis untuk mengubah status minyak sawit sebagai bekalan bahan mentah untuk biodiesel di negara itu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata surat daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron diserahkan kepada Duta Perancis di Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada 19 Dis, 2018, Dewan Negara Perancis menerima pakai pindaan terhadap Bajet 2019 untuk melarang penggunaan minyak sawit sebagai bekelan bahan mentah untuk biodiesel dan menghentikan insentif cukai bagi minyak sawit pada 2020.

Saifuddin berkata ini dilihat sebagai larangan umum kerana ia akan menjadikan minyak sawit amat tidak ekonomik dan langkah itu secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada produk keluaran Eropah terutamanya minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari.

"Tindakan ini tidak baik kepada ekonomi global, terutamanya negara pengeluar minyak sawit seperti Malaysia. Ia akan menjejaskan 650,000 pekebun kecil dan dua juta rakyat Malaysia yang amat bergantung kepada industri itu untuk kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Memburukkan lagi perkara itu, Saifuddin berkata Dewan Negara Perancis turut memutuskan untuk melayani biofuel atau bahan api berasaskan minyak sawit sebagai 'bahan api regular' dan bukannya "bahan api hijau".

"Keputusan ini dilihat dibuat berdasarkan persepsi salah dan tanggapan secara umum bahawa minyak sawit dikaitkan dengan penebangan hutan,” katanya.

Susulan perkembangan itu, Saifuddin menggesa negara anggota Kesatuan Eropah (EU) menolak sebarang langkah untuk menyekat penggunaan minyak sawit sebagai bahan api kerana larangan disyorkan itu jelas perbuatan diskriminasi.

"”Tiada minyak bijian atau tanaman mengandungi minyak yang lain dijadikan sasaran secara negatif sepertimana industri minyak sawit,” katanya dan menurutnya langkah itu bukan sahaja melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) tetapi ia juga bercanggah dengan semangat globalisasi dan perdagangan bebas yang negara anggota EU giat promosikan dan lindungi.

Malaysia, katanya komited untuk mengeluarkan minyak sawit mampan dengan ladang minyak sawit Malaysia adalah yang pertama mendapat pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan menerusi skim pensijilan mandatori Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), setiap titis minyak sawit dikeluarkan di Malaysia akan diperakukan sebagai mampan pada 2020.

Saifuddin berkata banyak daripada kawasan bumi Malaysia berjaya dikekalkan sebagai kawasan hutan dan dilindungi.

"Kawasan hutan negara ketika ini telah diperakukan meliputi hampir 55.3 peratus kawasan tanah di dalam negara,” katanya dan menurutnya ia jauh lebih luas daripada kawasan hutan di kebanyakan negara Eropah yang besar termasuk Perancis, Jerman, Itali dan United Kingdom.

Saifuddin menggesa negara anggota EU yang merupakan rakan kongsi Malaysia "untuk melayani kami dan rakyat kami sepertimana yang mereka sendiri mahu dilayani".

"Negara dan rakyat kami telah menjadi rakan rapat dan rakan kongsi dalam diplomasi, perdagangan dan keselamatan sejak beberapa dekad lamanya. Hubungan kukuh kita adalah berteraskan nilai-nilai bersama kita bagi keadilan, saksama dan kepercayaan," katanya, sambil menambah, Malaysia menaruh kepercayaan kepada kerjasama dan bukannya konfrontasi.

"Dalam konteks ini, langkah diskriminasi seumpama ini akan meremehkan nilai-nilai ini.

"Bagi tujuan ini dan untuk menjamin masa depan lebih baik untuk semua yang berkenaan, Malaysia berharap untuk mengadakan perbincangan secara ikhlas dan sebagai rakan kongsi mesra dalam usaha untuk mencapai penyelesaian adil demi pembangunan ekonomi dan kemakmuran bersama,” katanya.

- Bernama