Dua anggota Majlis Perbandaran Nilai (MPN) membuat laporan polis mendakwa mereka difitnah seorang lelaki dalam media sosial.

Kedua-dua mereka Mohd Helimy Samat, 40, dan Siti Mariam Md Yusof, 60, membuat laporan itu masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, petang semalam.

Peguam G.Ganeson yang mewakili Mohd Helimy berkata tuduhan dilemparkan lelaki yang mengunakan nama Tandiko Dalusin (Tandiko) merupakan sesuatu yang serius dan laporan polis dibuat bagi membersihkan nama anak guamnya.

Tuduhan itu antara lain memfitnah Mohd Helimy merupakan ahli Umno dan menyertai PKR untuk mendapatkan jawatan.

"Justeru itu satu laporan polis telah dibuat kerana ia menjejaskan imej dan reputasi anak guam saya. Lantikan anak guam saya sebagai ahli majlis bukan kerana fahaman politik sebaliknya atas kapasiti beliau sebagai perancang bandar yang bertauliah.

"Saya meminta polis menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media semalam.

Ganeson berkata laporan juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini.

"Kita juga akan menghantar surat tuntutan maaf kepada penama dan mesti dibuat dalam tempoh 14 hari.

"Jika tak dilakukan, kita akan fail saman fitnah ke atasnya di Mahkamah Tinggi Seremban," katanya.

Sementara itu, Siti Mariam berkata tuduhan yang dilakukan lelaki berkenaan kononnya telah merasuah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Labu Ismail Ahmad untuk jawatan sebagai ahli MPN.

"Sebaliknya saya ditawarkan. Tuduhan ini telah menjatuhkan imej saya sebagai ahli majlis dan Ketua Wanita PKR DUN Labu," katanya.

-- Bernama