Pendekatan kesihatan terhadap masalah penagihan dadah lebih menunjukkan kesan positif terhadap masyarakat selain menjimatkan perbelanjaan negara, kata sebuah NGO antarabangsa yang memfokuskan pada dasar pengurangan kemudaratan.
Pengarah Eksekutif Harm Reduction International, Naomi Burke-Shyne memberi contoh dasar dan program yang telah dilaksanakan Portugal berjaya mengurangkan jangkitan HIV, kematian berkaitan dadah serta menjimatkan belanja sistem perundangan negara.
"Pendekatan berasaskan kesihatan terhadap masalah dadah menunjukkan ia kos efektif dan memberi kesan positif kepada masyarakat.
"Adalah sangat penting, apa-apa pembaharuan undang-undang dadah menghormati hak pengguna dadah dan dilengkapkan dengan pelaburan dalam sektor perkhidmatan kesihatan dan sosial yang berasaskan bukti. Hanya melalui (kaedah) itu saja beberapa kerosakan yang berakibat daripada undang-undang dadah berbahaya dapat ditangani.
"Portugal dianggap sebagai contoh yang sangat baik di mana langkah untuk merawat penggunaan dadah sebagai isu kesihatan telah membawa hasil positif yang signifikan.
"Portugal menyaksikan penurunan kadar HIV dan kematian berkaitan dadah di kalangan pengguna dadah, serta menyelamatkan wang sistem perundangan negara," katanya dalam suatu kenyataan di London malam ini.
Harm Reduction International menyambut baik kenyataan Menteri Undang-undang Liew Vui Keong dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKDM) hari ini yang berkata masalah penagihan perlu dilihat sebagai isu kesihatan sosial dan bukan jenayah.
"Sangat positif apabila pegawai kanan Malaysia mula mengakui bahawa pendekatan menghukum dadah telah gagal.
"Terdapat bukti yang menunjukkan kaedah jenayah (dalam menangani) penagihan dadah dan rawatan secara paksa memudaratkan kesihatan dan keselamatan awam secara lebih luas," jelas Naomi lagi.
Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKDM) hari ini berlangsung di Putrajaya serta dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK).
Dalam mesyuarat itu, menteri undang-undang turut berkata sektor kesihatan perlu dibenarkan menyelia masalah ketagihan.
"Penggunaan dadah haruslah lebih dilihat melalui sudut kesihatan sosial dan diselia melalui sektor kesihatan dan bukanlah ditangani melalui sistem pengadilan jenayah," katanya.
