Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kononnya dalam pemikiran orang Melayu tak ada makna “negara bangsa”. Keduanya membawa maksud tersendiri dan berbeza. “Negara” bermaksud tanah air, dan “bangsa” bermaksud kaum.

Mungkin benar. Memang konsep “negara bangsa” adalah konsep baharu.

Maka dianggap terjemahan United Nation menjadi “Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu” adalah tidak tepat atau salah. Kepada pakar sejarah sebegitu misalnya, terjemahan yang lebih tepat agaknya menjadi “Pertubuhan Negara-negara Bersatu”. “PNB” dan bukannya “PBB” seperti yang digunakan selama ini.

Sidang PBB

Di sebalik semua pandangan berkenaan, ada yang terlupa bahawa dalam pemikiran orang Melayu ada konsep “nusa bangsa”. Konsep itu sesungguhnya jauh lebih besar dan dalam sekiranya hendak dibanding konsep negara bangsa. Kesetiaan kepada nusa bangsa jauh sebelumnya telah muncul apa yang disebut sebagai “Nusantara”.

Saya selalu mengambil contoh Singapura sebagai sebuah negara yang cuba lari dari menjadi Nusantara. Republik itu sejak keluar dari Malaysia pada pertengahan 1960-an kononnya mahu menjadi sebuah negara moden yang baru, yang tidak terikat dengan identiti dan kebudayaan asal kepulauan itu.

Lalu didirikan patung Stamford Raffles sebagai lambang kebangsaan untuk sebenarnya membohongi rakyat dan diri mereka sendiri. Apabila pembohongan itu tidak lagi berkesan dan mulai dipersoalkan, maka dibangunkan pula beberapa patung lain yang juga dianggap sebagai pendiri bangsa Singapura.

Dua patung yang menjadi lambang asas kebangsaan Singapura, selain Raffles ialah Munshi Abdullah dan Sang Nila Utama. Anehnya, di antara dua patung itu, turut didirikan dua lagi patung iaitu sosok Tan Tock Seng dan Naraina Pillai—siapakah mereka ini? Dari mana asal keturunannya? Apakah dari Batam, Sumatera, Jawa atau Tanah Melayu?

Dengan dua patung Tock Seng dan Pillai itu nampaknya pemerintah Singapura terus mahu mengaburi rakyat, tidak jujur dan mahu membohong sejarah.

Ketika dunia mempersoalkan bagaimana seorang pegawai penjajah Inggeris boleh ‘membuka’ pulau berkenaan, maka dibangunkan kesemua patung daripada pelbagai kaum agar terus dapat menyembunyikan budaya asal di pulau itu—sedangkan kita tahu, sosok seperti Munshi Abdullah juga datang ke Singapura dari Melaka ketika Singapura sudah dibuka, berpenghuni dan punya kerajaannya sendiri.

Helah dan pembohongan begitu cuba juga dilakukan di Malaysia oleh segelintir pihak. Parti cauvanis seperti DAP, MCA dan MIC misalnya kekal tidak mahu menerima teras kenegaraan Malaysia berasas kepada budaya dan tradisi Nusantara. Buktinya mereka tetap tidak mahu menerima sekolah satu aliran dengan satu bahasa kebangsaan sebagai teras perpaduan semua kaum.

Memelayukan Melayu, mencinakan Cina

Cara memecahbelahkan rakyat Malaysia mudah sahaja, yakni dengan memberikan bantuan kewangan kepada maahad tahfiz dan dalam masa sama, berikan juga bantuan yang besar kepada sekolah persendirian Cina. Melayu perlu terus dimelayukan, dan Cina perlu terus dicinakan.

Permainan sebegitu dahulunya di era BN dimainkan oleh MCA dan MIC. Sekarang dimainkan pula oleh DAP. Parti-parti politik inilah yang memelihara bara perkauman untuk menggagalkan pembentukan nusa-bangsa Malaysia.

Keadaan ini ditambah parah apabila parti-parti nasionalis sama ada kiri dan kanan takut kehilangan sokongan daripada parti-parti cauvanis itu. Dulunya Umno takut kehilangan sokongan MCA dan MIC; dan sekarang di dalam Pakatan Harapan, Bersatu, Amanah dan mungkin juga PKR juga takut kehilangan sokongan DAP—walaupun DAP tidak pula memegang keseluruhan 20 peratus pengundi Cina di negara ini.

Sekiranya Umno—yang mempunyai kerusi jauh lebih besar daripada Bersatu, Amanah dan PKR—pun takut hilang sokongan MCA dan MIC, maka keadaan akan lebih parah apabila DAP memegang kerusi jauh lebih besar di dalam Pakatan Harapan.

Jumlah itu belum lagi diambil kira kerusi DAP di peringkat DUN di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor. Kalau DAP menarik diri di negeri-negeri berkenaan, maka kerajaan Pakatan Harapan akan tumbang—sama seperti keadaannya di peringkat Putrajaya. Begitulah besarnya pergantungan semua parti dalam Pakatan Harapan kepada DAP.

Mungkin inilah yang paling ditakuti oleh pemimpin Pakatan Harapan—di saat beberapa individu galak berebut untuk menjadi perdana menteri. Di ketika inilah jugalah, orang Melayu dan kaum-kaum lain sedang pula memerhatikan kuntau pemimpin nasionalis di dalam Pakatan Harapan; apakah mereka akan menggadaikan nusa bangsa ini untuk melayan nafsu kaum cauvanis?

Bangsa ini tidak perlu takut apa-apa lagi pun. Ketika kita sudah membuktikan bahawa kuasa sekuat BN pun boleh ditumbangkan, apalah sangat dengan Pakatan Harapan! Dan amaran itu sekurang-kurangnya akan dibuktikan dalam beberapa pilihan raya kecil dalam masa terdekat.

Amaran itu berbunyi: jangan main-main dengan Malaysia!


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS