MCA akan kemuka bukti status agama nyonya Tahir
Biro Agama MCA Pusat akan mengemukakan bukti berhubung status agama seorang wanita Melayu, Nyonya Tahir, 88, yang meninggal dunia di sini Rabu lalu, di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban Isnin ini.
Biro Agama MCA Pusat akan mengemukakan bukti berhubung status agama seorang wanita Melayu, Nyonya Tahir, 88, yang meninggal dunia di sini Rabu lalu, di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban Isnin ini.
Timbalan Pengerusinya, Koo Chin Nam berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat lebih dua jam di Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah di Tampin hari ini.
"Saya akan hadir dan menyampaikan sendiri dokumen tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban Isnin ini dan terpulang kepada mahkamah memutuskannya. Dalam hubungan ini kita hanya membantu bagi pihak keluarga simati," katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Adun Repah.
Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Naib Pengerusi MCA Negeri yang juga Adun Repah Datuk Gan Chin Yap, Anggota Jawatankuasa MCA Negeri Datuk Lee Yuen Fong, Ketua Pemuda MCA Negeri Foo Ming Chee dan empat anak Nyonya iaitu Chiang Ah Fatt, 40, Chiang Kwai Ying, 43, Chiang Lan Mui, 49, serta menantu Nyonya, Chan Hon Men, 54.
Koo, yang juga seorang peguam Syarie turut mengedarkan kepada pemberita salinan surat siasatan kedudukan Nyonya Tahir daripada Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah, Melaka serta surat akuan wanita itu yang mendakwa telah keluar daripada agama Islam.
Menurut laporan Bernama, Gan pula berkata, Nyonya Tahir meninggal dunia kerana sakit tua di rumahnya di Taman Indah di sini pada Rabu lalu dan pengebumiannya mengikut cara masyarakat Cina dijadualkan semalam.
Bagaimanapun, katanya selepas kematian, anak wanita itu membuat laporan polis di Balai Polis Tampin dan anggota polis bertugas pelik apabila menerima salinan kad pengenalan Nyonya yang jelas menunjukkan dia berbangsa Melayu dan beragama Islam sedangkan anaknya menggunakan nama Cina serta beragama Buddha.
Keputusan mahkamah
"Menyedari kejadian itu, anggota polis terbabit memaklumkan kepada pegawai atasannya yang kemudian menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan jabatan itu memperolehi perintah Mahkamah Syariah semalam untuk menangguhkan upacara pengebumian Nyonya yang didakwa anggota keluarganya hidup mengikut cara masyarakat Cina dan agama Buddha," katanya.
Mayat wanita itu kini ditempatkan di bilik mayat Hospital Tampin sementara menunggu keputusan mahkamah.
Menurut laporan akhbar hari ini, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban akan mendengar permohonan JHEAINS Isnin ini berhubung status agama wanita itu.
Pengarah JHEAINS Datuk Zaharudin Mohd Shariff dilaporkan berkata kes itu dibawa ke mahkamah kerana siasatan pihaknya mendapati Nyonya berketurunan Melayu dan berasal dari Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, tetapi berkahwin dengan lelaki Cina.
Berdasarkan rekod, Nyonya berkahwin dengan suaminya Ching Meng, yang beragama Buddha pada 1936 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan 13 anak. Ching meninggal dunia 12 tahun lalu.
"Daripada maklumat diterima, pihak kami mendapati Nyonya keturunan Melayu beragama Islam. Wanita itu juga pernah menghantar surat untuk menukar agama daripada agama Islam kepada Buddha dengan alasan dia sudah berkahwin dengan keturunan Cina dan tidak lagi mengamalkan hidup masyarakat Melayu dan Islam. Bagaimanapun, permohonan itu ditolak," katanya.

