Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tidak ada keperluan untuk calon buat pemeriksaan kesihatan - SPR

Tidak ada keperluan untuk SPR mensyaratkan setiap calon yang ingin bertanding pada pilihan raya supaya terlebih dahulu menjalani pemeriksaan kesihatan secara rapi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata ini kerana kematian adalah sesuatu yang tidak boleh dijangkakan.

“Itu (pemeriksaan kesihatan) saya rasa memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan kalau kita nak buat sedemikian, tetapi saya rasa langkah itu tak perlu kerana kita rasa perkara kematian ini tidak boleh dijangka.

“Walaupun dia sihat, dia boleh meninggal. Tetapi saya rasa langkah tersebut tidak akan dijalankan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat urusan PRK Semenyih, di Putrajaya hari ini.

Azhar berkata demikian mengulas soalan pemberita apakah SPR tidak mahu meletakkan syarat kepada calon bertanding pilihan raya melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengelak kekerapan pilihan raya.

Sejak 9 Mei lalu, enam pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan dan antaranya berikutan faktor kematian.

PRK DUN Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).

Sementara itu ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan perjalanan PRK sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi SPR pada 1 Julai 2018, Azhar berkata beliau melihat kesedaran mengenai peraturan pilihan raya semakin meningkat dalam kalangan parti politik dan masyarakat.

“Saya mengambil tempat saya di SPR sejak PRK Port Dickson, kemudian di PRK Cameron Highlands dan seterusnya di Semenyih.

“Untuk di Port Dickson saya berpuasa hati dengan kelancaran perjalanan proses pilihan raya serta inisiatif baru yang telah diperkenalkan sekretariat,” katanya.

Lihat Komen
ADS