Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga ustazah yang dilapor hilang mohon beri peluang bertenang
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 3:56 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Keluarga Nur Farhana Ibrahim, ustazah yang ditemui semalam selepas dilaporkan hilang di Balik Pulau, Pulau Pinang, Isnin lepas, meminta semua pihak untuk memberi ruang untuk bertenang.

Abang sulung Nur Farhana, Ahmad Fahmi Ibrahim, 45, berkata selepas ditemui, adiknya yang berumur 27 tahun itu telah dibawa pulang oleh suaminya Muhammad Naim Mahyadin, 30, ke rumah mereka di Alor Senibong, Langgar dekat sini.

"Saya dan adik beradik yang lain pun masih belum berjumpa dengannya kerana suaminya ada meminta supaya Nur Farhana diberi ruang untuk bertenang dan berehat. Mungkin apabila emosinya sudah stabil kami akan pergi berjumpanya.

"Sejak berita kehilangannya, saya bersama dua lagi adik beradik berkampung di Pulau Pinang dan kami sangat bersyukur apabila dimaklumkan ditemui dalam keadaan selamat pada 4.45 petang semalam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sematang, Kuala Kedah dekat sini, hari ini.

Ahmad Fahmi berkata dia tidak menyangka Nur Farhana yang merupakan anak kelima daripada enam beradik itu akan 'hilang' walaupun sebelum ini pernah beberapa kali menyuarakan rasa penat dan letih kepadanya kerana perlu berulang alik dari Alor Setar ke sekolahnya di Pulau Pinang.

"Dia seorang yang periang sebelum ini, tapi saya nampak perubahan padanya apabila selalu senyap dan tidak ceria seperti biasa. Mungkin bebanan yang dia tanggung jadi punca, tapi buat masa sekarang semuanya masih menjadi tanda tanya.

"Saya harap, dia dapat ditukarkan ke sekolah lain di Alor Setar kerana bimbang perkara sama akan berulang. Saya juga pernah bantu untuk proses pertukarannya tapi masih belum dapat lagi," katanya.

Katanya, ayah mereka, Ibrahim Abdullah, 71, yang lumpuh sejak 11 tahun lalu juga mengetahui berita tentang kehilangan adiknya itu namun hanya berdiam diri sahaja.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ustazah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Genting di Balik Pulau, Pulau Pinang dikhuatiri hilang selepas tidak hadir mengajar dan ketiadaannya disedari suaminya setelah dia tidak pulang ke rumah mereka di Alor Senibong, Langgar, Alor Setar pada petang Isnin lepas.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim mengesahkan bahawa Nur Farhana datang ke Balai Polis Kuala Kangsar seorang diri dengan berjalan kaki kira-kira pada 3.15 petang.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS