Malaysia adalah antara beberapa negara yang semakin disebut-sebut bakal menerima manfaat, dengan menjadi salah satu destinasi wang Iran, jika negara itu membuat keputusan menarik keluar wangnya dari bank-bank di Eropah Barat, ekoran rancangan sekatan oleh Barat disebabkan program nuklearnya.

Para penganalisis Jerman berkata, kemungkinan perkara itu berlaku, tidak akan mengejutkan mereka.

Menurut mereka, sejak serangan pengganas pada 11 September, ramai pelabur Arab mengeluarkan dana masing-masing secara perlahan-lahan dari bank-bank di AS dan negara-negara Eropah Barat yang tidak disenangi oleh mereka lagi.

Sebahagian wang itu telah tiba di Malaysia, walaupun sebahagian besarnya disimpan di Singapura. Singapura juga secara diam-diam telah menarik pelabur Asia Barat dan membina negara itu sebagai Luxembourg atau Switzerland Asia.

Menurut Bernama, Singapura yang telah menjadi hub sektor perkhidmatan Asia Tenggara, kini menyediakan rangkaian perkhidmatan perbankan yang besar, termasuk untuk menampung wang para pelabur Arab yang kaya dengan minyak.

Para penganalisis Jerman membuat pelbagai spekulasi ekoran satu laporan dalam sebuah akhbar Arab Al-Sharq Al-Awsat yang memetik seorang pegawai berpangkat tinggi yang tidak dikenal pasti di Tehran, sebagai berkata, Iran akan menutup akaunnya dalam bank-bank Barat yang menyimpan kira-kira lapan bilion dolar AS.

Bank pusat itu telah diarahkan oleh kerajaan Iran supaya mengalihkan dana rasmi di bank-bank Eropah, ke bank-bank di Hong Kong, Singapura, Shanghai dan Malaysia.

Dasar berkecuali

Langkah itu dilakukan bagi mengelakkan kesilapan yang sama yang membolehkan negara-negara Eropah mengenakan tekanan terhadap Iran dengan mebekukan akaunnya dalam tahun-tahun lewat 1970-an semasa diplomat Amerika Syarikat dijadikan tebusan oleh Iran ekoran penggulingan Shah Iran.

Para pakar Jerman berkata, dana dari bank-bank di Switzerland yang mengamalkan dasar berkecuali, tidak akan terlibat dengan pengeluaran dana berkenaan. Para pemimpin politik negara itu tidak membuat sebarang ulasan mengenai kemelut yang berlaku akan Barat dan Iran.

Para kepimpinan Iran sehingga ini menentang tentangan barat terhadap program pengayaan atomnya langkah awal bagi membina senjata atom walaupun Iran telah menekankan bahawa ia tiada niat untuk membuat senjata nuklear tetapi mahu menggunakan senjata nuklear bagi menampung keperluan domestiknya.

Rusia yang merupakan rakan perniagaan penting Iran, telah menyeru dicari penyelesaian diplomatik.

Menteri Luar Rusia Sergej Lawrow yang telah menemui rakan sejawatannya dari Perancis Douste-Blazy, telah menekankan bahawa sekatan bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah.

Russia telah menyarankan apa yang disifatkan sebagai "cadangan untuk bertolak ansur" kepada Iran dengan menawarkan Tehran membina keupayaan mengayakan uranium di Rusia.