Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maritim Malaysia buat laporan berhubung kematian suspek dalam tahanan
Diterbitkan:  Jan 19, 2019 6:17 AM
Dikemaskini: 10:17 PM

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah membuat laporan polis berhubung insiden seorang suspek, M Thinagaran, yang ditemui mati tergantung di bilik tahanan Maritim Malaysia Selangor pada 13 Jan lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata Maritim Malaysia menyerahkan kes kematian suspek sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut memandangkan laporan polis bersabit kes itu telah dibuat.

Thinagaran, 31, dan seorang lagi suspek berada dalam tahanan reman bagi kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 setelah ditangkap pada 9 Jan, kira-kira 1.1 batu nautika dari Sungai Belankan, Selangor, oleh bot peronda Maritim Malaysia apabila 22 bungkusan disyaki dadah jenis syabu ditemui disorok di dalam tong ikan.

"Agensi ini tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan dan ulasan berkaitan kes berkenaan bagi mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan siasatan polis,” kata Mohd Zubil dalam satu kenyataan semalam.

Pendekatan itu juga adalah bagi menghormati keluarga mendiang dan memberi keadilan kepada semua pihak yang terlibat, katanya.

Semalam, isteri mendiang, R Tenaswari, 25, dilaporkan membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman di Klang kerana mengesyaki sesuatu yang tidak kena setelah Thinagaran pernah mengadu dipukul selepas penangkapannya.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS