Paling Popular
Terkini

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa pihak yang bertindak ke atas Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai agenda untuk memburukkan Islam.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai kedudukan "bukti" tersebut Abdul Hadi dengan pantas merujuk kepada laporan yang disiarkan media massa.

“Ada bukti, siar di media. Belum (terbukti) salah dah siar (seperti)salah. Ha itu,” kata Abdul Hadi.

Anggota parlimen Marang itu ditemui media selepas merasmikan Seminar Sejarah PAS di Taman Melewar, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Abdul Hadi mengulangi pendiriannya berhubung tindakan pihak berkuasa negara ini mengambil tindakan ke atas beberapa pegawai kanan TH.

Antaranya ialah bekas pengerusi agensi itu dan merangkap anggota parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim, yang dikenakan tuduhan rasuah serta pengubahan wang haram.

Bulan lalu semasa berada di London Abdul Hadi mendakwa isu TH digunakan pihak tertentu untuk melaksanakan agenda tersirat mereka bagi menjatuhkan imej Islam.

Kita kena betulkan 

Ketika ditanya berkaitan laporan polis oleh pegawai TH mengenai keraguan melibatkan kewangan tabung itu pada 2017 serta pendakwaan melibatkan Abdul Azeez, Abdul Hadi berkata media seharusnya memfokuskan jasa TH kepada orang Islam. 

“Kenapa (media) tak sebut TH berkhidmat kepada jemaah haji dan rombongan perubatannya.

"Yang tak diceritanya beribu khidmat itu, kenapa? Saya tanya balik, tak ada salah, kecuali cari salah orang, itu cara tak betul,” katanya sedikit emosi.

Abdul Azeez Abdul Rahim

Beliau turut menyanggah pihak yang sengaja membesarkan isu TH namun berdiam diri berkaitan skandal yang melibatkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya media kini menjadi hakim dengan menimbulkan persepsi sebelum sesuatu perkara itu dibuktikan kesalahannya.

“Apa yang berlaku hari ini, media menjadi hakim, media yang jatuhkan hukuman, itu persepsi salah, kita kena betulkan.

"Kalau tak, banyak yang menjadi mangsa. Bukan kita kata dia (semua tindakan TH) betul, tidak tapi jangan terus kita hukum.

“Apa lagi, TH ini berkait dengan orang Islam, kenapa ditonjolkan, sedangkan isu Lim Guan Eng ni terang-terangan, tapi kenapa disenyapkan sedangkan itu isu individu.

“Sedangkan TH ini Berkait dengan institusi dan orang Islam. Pihak-pihak yang terlibat dengan simpanan tak timbul (isu) pun. Sekarang cerita lain pula, tak ada suatu bukti yang jelas,” katanya.

Lihat Komen
ADS