Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Video tari-menari ketua hakim, AG memalukan kehakiman'
Diterbitkan:  Jan 19, 2019 5:04 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan klip video yang memaparkan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong dalam suatu majlis tari-menari sebagai memalukan institusi kehakiman.

Asyraf berkata demikian merujuk klip video pada program Legal Year 2019 yang melibatkan personaliti perundangan dan kehakiman yang diadakan semalam.

"Penularan video majlis tari menari yang turut melibatkan personaliti-personaliti seperti Liew, Richard Malanjum, Tommy Thomas dan peguam-peguam politik yang dilihat pro-Pakatan Harapan (PH) seperti Ambiga Sreenavasan dan Siti Kasim adalah suatu yang amat memalukan institusi kehakiman dan perundangan negara," katanya.

Jelas Asyraf, sejak dulu institusi kehakiman dan perundangan negara terutamanya dalam kalangan hakim sangat sensitif dengan pergaulan sosial kerana ia mempengaruhi keyakinan masyarakat terhadap kehormatan, nilai etika, integriti dan adab susila mereka.

"Apatah lagi jika melibatkan ketua hakim negara dan peguam negara yang bersosial dengan ahli politik dan individu berprofil tinggi yang pastinya boleh mengundang kontroversi dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sebarang keputusan yang bakal mereka ambil kelak.

"Ini juga terkait dengan mantra yang harus mendasari sistem kehakiman dan perundangan negara iaitu keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan, bahkan mesti dilihat dilaksanakan," katanya.

 Justeru, kata Asyraf, pihaknya kecewa dengan penularan video berkenaan yang menurutnya mencalar institusi kehakiman dan sistem keadilan negara.

"Terutamanya institusi ketua hakim negara dan peguam negara yang dilihat semakin hilang kredibiliti dan nilai integriti lantaran pencabulan etika dan prinsip konflik kepentingan yang mula dipersoalkan rakyat," kata Asyraf.

Perlu konsisten

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan kritikan pada 2016 terhadap Mohamed Apandi Ali.

Mohamed Apandi yang merupakan peguam negara ketika itu dikritik susulan klip video memaparkannya menari bersama beberapa pemimpin BN.

"Nak menari dalam acara peribadi soal tuan punya badan.

"Tapi dalam acara rasmi, tokoh kehakiman dan eksekutif kena jaga imej kebebasan dan integriti institusi kehakiman.

"2016 kita pernah persoal AG, Menteri menari di acara Merdeka. Kita mesti konsisten," katanya.

 

Lihat Komen
ADS