Menteri: Pendapat Kelantan pada Orang Asli tak tepat
Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata kerajaan Kelantan mengambil pendirian tidak tepat dengan mendakwa komuniti Orang Asli tidak "memiliki" mana-mana tanah negeri.
Katanya masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia mempunyai hak yang sama mengikut undang-undang, dan nenek moyang mereka adalah penduduk asal dan pertama di negara ini.
Pada masa sama Waythamoorthy berkata mahkamah tertinggi di negara ini berkali-kalil mengiktiraf serta menegaskan mengenai hak tanah adat.
"Antara faktor lain, (kerana) kedudukan istimewa orang Orang Asli di bawah Perkara 8 (5) (c) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajan persekutuan pada 18 Jan lalu mengemukakan saman terhadap Kelantan kerana didakwa menceroboh kawasan tanah Orang Asli suku Temiar.
Menurut Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu sebagai langkah melindungi dan mempromosikan kesejahteraan untuk masyarakat terbabit.
"Walaupun perkara tanah dan perhutanan terletak di dalam bidang kuasa kerajaan negeri, negara perlu melindungi kebajikan Orang Asli Temiar," katanya.
Dulu gagal ditangani
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah kemudian menyatakan tiada tanah di negeri itu dimiliki oleh Orang Asli kecuali apa yang diberikan oleh kerajaan negeri.
“Setakat ini tidak ada tanah yang dimiliki Orang Asli kecuali yang diberi milik oleh kerajaan negeri,” katanya seperti dipetik FMT.
Pada Ogos lalu pula Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberitahu media tanah adat yang dituntut komuniti Orang Asli di Kelantan adalah hak mutlak kerajaan negeri.

“Di Kelantan, tidak wujud tanah adat untuk Orang Asli, tidak pernah ada dalam undang-undang tanah Kelantan dan tidak pernah diwartakan (tanah adat Orang Asli)," katanya.
Waythamoorthy berkata kerajaan pusat bertanggungjawab untuk melindungi masyarakat pribumi dan hal berkaitan kebajikan Orang Asli terletak di bawah tanggungjawab dan kuasa kerajaan persekutuan.
"Hak-hak adat yang dinikmati Orang Asli sebagai penduduk pertama di Semenanjung Malaysia terus wujud dan tidak boleh dipadamkan dengan mendakwa ia menjadi tanah negeri, penciptaan tanah rizab atau - dalam hal ini - memberikan pajakan atau lesen kepada pihak ketiga atas alasan yang tanah tersebut dimiliki oleh kerajaan negeri.
"Hak adat itu sendiri adalah satu bentuk undang-undang bertulis.
"Tidak munasabah untuk menganggap bahawa adat yang tidak mempunyai kuasa undang-undang hanya kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang kerajaan negeri.
"Walaupun tidak termaktub, ianya tidak bermakna hak-hak adat Orang Asli tidak wujud sama sekali," katanya.
Menurut Waythamoorthy lagi kerajaan sebelum ini gagal menangani isu tanah adat tersebut walaupun mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
"Saya menggesa kerajaan Kelantan menimbang semula kedudukannya yang mengabaikan kedudukan Orang Asli dan hasrat komuniti terbabit untuk melaksanakan hak-hak ke atas pemilikan tanah adat mereka," katanya.

