Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH nafi mahu halang 2,000 Orang Asli mengundi
Diterbitkan:  Jan 20, 2019 2:39 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

PRK CAMERON | Penolong Ketua Pusat Operasi Pakatan Harapan (PH) Jelai Arvind Bharet semalam membuat laporan polis terhadap Lokman Noor Adam berhubung satu dakwaan yang dibuat anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu pada 18 Januari lalu.

Lokman dilaporkan mendakwa PH merancang untuk menghalang sejumlah 2,000 Orang Asli daripada keluar mengundi pada 26 Januari ini.

Menafikan perkara itu, Arvind berkata pihaknya memandang serius dakwaan Lokman yang menurutnya bersifat fitnah dan menjejaskan imej PH.

"Saya hendak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil langkah sewajarnya untuk menyiasat dakwaan ini dan sekaligus mengambil tindakan terhadap Lokman," kata laporan polis itu.

Dalam satu kenyataan berbeza, Arvind berkata PH tidak menyokong tindakan seperti itu memandangkan mengundi adalah satu hak yang ada pada setiap rakyat.

"Daripada menyebarkan penipuan, Lokman sepatutnya melihat jentera BN yang terbukti melanggar undang-undang pilihan raya selama ini," katanya lagi.

Memetik laporan Utusan semalam, Lokman mendakwa PH mahu membeli kad pengenalan pengundi Orang Asli agar mereka tidak dibenarkan membuang undi.

“Kita menerima maklumat kira-kira 2,000 kad pengenalan mereka (Orang Asli) akan dibeli dan dipegang oleh PH supaya mereka tidak dapat turun mengundi. Oleh itu, kita akan hantar petugas-petugas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang disyaki berlaku perkara ini,” katanya seperti dipetik.

Lihat Komen
ADS