'Mansor akan faham jika hadir mesyuarat'
Ketua Cabang PKR Pulau Pinang Jason Ong Khan Lee menyatakan rasa sedih berhubung kekecewaan bekas pengerusi PKR negeri, Mansor Othman yang mendakwa mesyuarat jawatankuasa negeri itu tidak diadakan dengan betul.
"Saya sedih kerana kekecewaan Mansor ketika ini dan tidak menghadiri mesyuarat, jika beliau hadir, beliau akan faham dan dimaklumkan kerana beliau juga dilantik sebagai penasihat pimpinan PKR Pulau Pinang," kata Ong.
Tambah Adun Kebun Bunga itu, sebagai bekas pengerusi negeri, pandangan Mansor sangat dihargai dan dialu-alukan.
"Sumbangan dan khidmatnya kepada parti selama ini tidak akan dilupakan dan semestinya pengalaman dan kepimpinannya masih sangat diperlukan parti.
"Di bawah kepimpinan Mansor, PKR berjaya memenangi 14 kerusi DUN dan empat kerusi parlimen, yang merupakan pencapaian terbaik untuk PKR di Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ong merujuk kenyataan Mansor sebelum ini bahawa mesyuarat yang diadakan pada 13 Jan lalu yang menyaksikan pelantikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai pemangku pengerusi sebagai tidak mengikut prosedur.
Mansor yang menerajui kepimpinan PKR negeri sejak 1999 berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim seharusnya mempengerusikan mesyuarat itu dan bukannya Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.
Beliau juga mempersoalkan alasan pelantikan Bakhtiar sebagai pemangku pengerusi dan bukannya pengerusi.
Mansor juga menyifatkan pandangannya tidak lagi dipedulikan.
Anwar sebelum ini melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai pengerusi negeri namun anggota parlimen Permatang Pauh itu meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan pada 16 Dis lalu.
Susulan itu, PKR Pulau Pinang tidak mempunyai pengerusi untuk beberapa bulan yang menyebabkan Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin menggesa pelantikan pengerusi baru dengan segera.
Nurul Izzah sudah dihubungi untuk memberi ulasan berhubung perkara ini namun beliau belum lagi memberikan respons.
Sementara itu, Ong menambah, beliau sendiri lebih awal lagi mencadangkan agar Mansor dilantik sebagai penasihat kepada jawatankuasa perhubungan negeri dan telah dipersetujui.
"Meskipun Nurul Izzah sudah menyerahkan surat peletakan jawatan, ia belum diterima oleh presiden.
"Sebagai pengerusi, Nurul Izzah menyampaikan keputusan presiden berhubung pelantikan Bakhtiar sebagai pemangku pengerusi PKR Pulau Pinang dengan persetujuan jawatankuasa perhubungan negeri.
"Nurul Izzah kini sedang bercuti dan mendapat restu presiden.
"Dalam situasi ini, kita perlu memberi kepimpinan baru peluang dan masa untuk memimpin parti ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

