Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta Hasutan: LFL sangkal bekas pegawai Mageran
Diterbitkan:  Jan 21, 2019 12:08 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran menyangkal pembelaan pakar perundangan Abdul Aziz Abdul Rahman terhadap Akta Hasutan 1948.

Abdul Aziz yang juga bekas pegawai perundangan Mageran (Majlis Gerakan Negara) dan pernah terlibat dalam pindaan akta itu selepas rusuhan 13 Mei 1969, antara lain berkata pemansuhan undang-undang itu memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja, dan gesaan terhadap pemansuhannya juga boleh dianggap menghasut.

Beliau berkata ini kerana undang-undang itu dipinda bersama-sama Perlembagaan Persekutuan dengan menambah Fasal 4 kepada Perkara 10, yang menyekat kebebasan bersuara masyarakat terhadap empat perkara yang dianggap sensitif iaitu bahasa kebangsaan, hak istimewa Bumiputera, hak warganegara Malaysia dan kedaulatan dan kuasa Raja-Raja Melayu.

Surendran memetik Artikel 63(4) Perlembagaan Persekutuan yang menurutnya meletakkan akta itu berbeza daripada undang-undang yang diluluskan bawah Artikel 10(4), justeru tidak berada di bawahnya.

"Maka Akta Hasutan 1948 adalah undang-undang biasa yang boleh dimansuh melalui majoriti mudah di parlimen, dan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

"Dakwaan Abdul Aziz bahawa Akta Hasutan adalah undang-undang luar biasa tiada asas sejarah dan perundangan. Akta itu adalah ordinan British yang diteruskan selepas merdeka.

"Ia sebenarnya undang-undang penjajah yang buruk (inferior) yang tidak pernah diluluskan oleh parlimen kita," katanya dalam kenyataan.

Abdul Aziz Abdul Rahman

Surendran juga menyifatkan dakwaan Abdul Aziz bahawa seruan pemansuhan akta itu sebagai satu tindakan menghasut sebagai mengarut.

"Parlimen mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk meminda dan memansuhkan undang-undang, maka tindakan warga menggesa parlimen memansuh mana-mana akta - termasuk Akta Hasutan - bukan tindakan menghasut," katanya yang juga seorang peguam.

Sementara itu, peguam Arun Kasi turut senada dalam soal Akta Hasutan sebagai undang-undang era penjajah.

"Ia adalah salah satu ordinan yang dibuat British sebelum merdeka yang dipanggil Ordinan Hasutan 1948. Selepas merdeka, pada 1969, ia dijadikan undang-undang oleh Jawatankuasa Penyemakan Undang-undang di bawah Akta Penyemakan Undang-undang 1968. Ia tidak melalui proses penggubalan undang-undang di parlimen," katanya dalam kenyataan.

Memandangkan ia tidak digubal di Parlimen, katanya lagi, akta itu tidak berhak dilindungi bawah Artikel 10(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Maka persoalan majoriti dua per tiga di Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-raja untuk meminda atau memansuhkannya tidak timbul," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS