Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MAS mohon maaf isu iklan menu 'babi'
Diterbitkan:  Jan 21, 2019 2:56 PM
Dikemaskini: Jan 22, 2019 3:05 AM

Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini memohon maaf jika promosi makanan yang diterbitkan dalam ruangan iklan majalah syarikat itu, Going Places, edisi Januari 2019 menyinggung mana-mana pihak.

Ia susulan kritikan sesetengah pihak mendakwa ruangan iklan, Restaurant Openings, menyertakan hidangan babi yang menurut mereka tidak sesuai dengan sensitiviti umat Islam.

"Dalam majalah Going Places edisi Januari 2019 yang disediakan di dalam penerbangan, artikel tersebut telah menampilkan sebuah restoran yang menyajikan pelbagai jenis makanan sebagai menu mereka.

"Dilampirkan bersama artikel tersebut adalah gambar daging lembu wagyu dan juga sotong. Seperti mana-mana majalah gaya hidup, ulasan restoran untuk mempromosikan restoran tempatan kepada penumpang dari seluruh dunia.

"Malaysia merupakan negara pelbagai budaya dan ulasan restoran tersebut bukan bertujuan untuk menyinggung mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan.

Semalam, bekas Pengarah Urusan MAB Abd Aziz Abdul Rahman dilaporkan menyelar promosi makanan dan gambar daging babi yang diterbitkan dalam iklan itu yang baginya tidak sesuai dengan MAS selaku penerbangan negara.

Berdasarkan semakan ketika berita ini ditulis, artikel January Eats: The Best Restaurants To Dine At This Month yang merupakan edisi atas talian majalah Going Places, tiada gambar disertakan pada perenggan yang merujuk menu babi berkenaan.

Bagaimanapun, pada satu perenggan, artikel itu ada menyebut perkataan "pork" (daging babi) dua kali bagi promosi sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS