Shariah Aini dilepas tanpa dibebaskan tuduhan fitnah Siti Nurhaliza
Biduanita Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini daripada pertuduhan menyiarkan beberapa tuduhan memfitnah penyanyi Siti Nurhaliza Taruddin menerusi e-mel.
Biduanita Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini daripada pertuduhan menyiarkan beberapa tuduhan memfitnah penyanyi Siti Nurhaliza Taruddin menerusi e-mel.
Majistret Azroul Hisham Azulan ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes itu berdasarkan peruntukan Seksyen 131 Kanun Prosedur Jenayah.
Seksyen 131 menyatakan sebarang mahkamah tidaklah boleh mengambil tahu berkenaan dengan kesalahan berkaitan fitnah kecuali dengan aduan yang dibuat oleh orang yang terkilan oleh kesalahan itu atau oleh pendakwaraya.
Azroul berkata, pertuduhan dan aduan adalah dua perkara yang berbeza.
"Sememangnya tidak dinafikan bahawa secara umumnya sesiapa sahaja boleh membuat aduan. Tetapi dengan adanya peruntukan khusus di bawah Seksyen 131 yang menghendaki hanya pihak-pihak tertentu yang membuat aduan, maka peruntukan khusus ini harus diikuti," katanya.
Azroul berkata, dalam kes itu, mahkamah tidak melihat Abdullah Bin Mamat (ABI, wartawan hiburan Harian Metro) sebagai orang yang boleh membuat aduan kerana Seksyen 131 dengan jelas mengatakan bahawa hanya orang yang terkilan dengan kesalahan itu atau Pendakwaraya yang boleh melakukannya.
Sharifah Aini, 52, didakwa menyiarkan tuduhan memfitnah Siti Nurhaliza, 26, menerusi e-mel kepada Ahmad Shaharil Jamaludin (adik angkat Sharifah Aini) di rumahnya di Lorong Utara, Off Jalan Utara, Petaling Jaya, pada jam 4.52 petang 24 Ogos tahun lalu.
Menurut laporan Bernama, penyanyi dan pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sharifah Aini, yang ditemui selepas itu berkata, beliau mempunyai perasaan yang bercampur-campur dan tidak terlalu gembira kerana tidak mendapat peluang untuk menceritakan kisah bagi pihak dirinya.
"Saya kecewa sedikit. Mungkin satu hari nanti, cerita sebenar akan diketahui juga," katanya.
Peguamnya Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata, berdasarkan keputusan mahkamah hari ini, secara teknikal pihak pendakwaan boleh merayu dan secara perundangan mereka juga boleh mengenakan pertuduhan semula terhadap Sharifah Aini.
Bagaimanapun, beliau berharap pihak pendakwaan akan memberi pertimbangan sewajarnya kerana itu tidak akan memberi faedah kepada Sharifah Aini atau Siti Nurhaliza.
"Ia merupakan satu situasi yang tidak ada siapa yang menang. Ramai yang akan tersinggung.
"Sebagai orang yang bijak, saya berpendapat Peguam Negara akan menimbang perkara ini," kata Muhammad Shafee.

