PRK CAMERON HIGHLANDS | Dakwaan kenderaan Jabatan Perhutanan digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands mendapat perhatian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata pihaknya memandang serius berhubung laporan pihak yang mendakwa berlaku pelanggaran peraturan dan etika kempen pilihan raya termasuk penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti bangsa serta agama.

Jelas Azhar, beliau sudah meminta Malaysian Corruption Watch (MCW) yang merupakan pemerhati PRK itu memberikan maklumat dan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan susulan dapat diambil.

"Selain itu, SPR juga dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh calon BN pada 21 Januari 2019 (hari ini) bagi membolehkan satu siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis," katanya.

Terdahulu, kenderaan dengan pelekat logo Pakatan Harapan (PH) pada panel pintu ditularkan di media sosial yang menimbulkan pertikaian sama ada PH menggunakan jentera kerajaan.

Pihak kerajaan Pahang sudah mengesahkan bahawa kenderaan berkenaan milik Jabatan Hutan dan meminta ia dipulangkan.

Sementara itu, Azhar mengingatkan agar semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen.

Antara yang disebutkan adalah tidak melaksanakan aktiviti kempen seperti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, program kerajaan, penggunaan kemudahan dan aset Kerajaan untuk meraih undi.

"Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 atau undang-undang lain yang berkaitan," katanya.