Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menjelaskan tidak semua buku teks bagi program dwibahasa (DLP) menggunakan proses rundingan terus.

Dalam kenyataan media hari ini, kementerian itu menjelaskan, hanya buku teks DLP bagi darjah tiga iaitu Mathematics Year 3 dan Science Year 3 melibatkan 266,110 naskhah yang menggunakan proses rundingan terus, yang diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sementara, buku teks DLP bagi sekolah menengah iaitu Science Form 3 dan Mathematics Form 3 melibatkan 108,680 naskah melalui proses tender terbuka.

"Oleh itu, tidak benar sama sekali anggapan bahawa semua penerbitan buku teks DLP, terutama yang melibatkan penerbit swasta dilaksanakan secara rundingan terus," kata kenyataan itu.

Kenyataan KPM dibuat selepas Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia mempersoalkan keputusan Kementerian Kewangan meluluskan pengambilalihan buku teks melalui rundingan terus.

Persatuan itu juga mempersoalkan pencetakan buku teks bagi program dwibahasa (DLP) yang diberikan kepada penerbit awam dan bukannya pencetak.

Dalam kenyataan 13 Jan lalu, Kementerian Kewangan menyatakan bahawa kelulusan khas bagi pemerolehan buku teks September tahun lalu adalah bagi memenuhi keperluan pelajar dalam tempoh yang segera.

Sementara itu dalam kenyataan hari ini, KPM turut menjelaskan bahawa proses pemilihan tender dijalankan "secara telus" dengan pembabitan tiga jawatankuasa.

Jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Penilaian Bahan, Jawatankuasa Penilaian Keupayaan Penerbit/Syarikat dan Jawatankuasa Penilaian Harga yang ditawarkan oleh petender.

"Kesemua markah yang diperoleh daripada ketiga-tiga jawatankuasa itu telah dipertimbangkan oleh Lembaga Perolehan, yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPM dan anggotanya terdiri daripada wakil Kementerian Kewangan Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan tiga Setiausaha Bahagian dalam KPM.

"Kesemua proses tender tersebut telah dilaksanakan dengan telus dan berintegriti," kata kenyataan itu lagi.