Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak boleh sekat wanita Kelantan kahwin warga Pakistan - Timb MB

Kerajaan negeri Kelantan menegaskan pihaknya tidak boleh menyekat mana-mana rakyat tempatan yang mahu berkahwin dengan warga asing.

Justeru, kata Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah, kerajaan negeri juga tidak bercadang mewujudkan peraturan atau dasar baru bagi mengawal trend perkahwinan lelaki warga Pakistan dengan wanita tempatan di negeri itu.

Beliau berkata, mustahil untuk kerajaan negeri cuba menyekat perkara itu kerana soal perkahwinan merupakan hak peribadi individu.

Katanya, jika benar lelaki warga asing tersebut berkahwin kerana mahu tinggal lama di negara ini untuk berniaga, terpulang kepada agensi penguat kuasa sedia ada untuk menguatkuasakan undang-undang dan mengawal perkara itu.

"Mana boleh kita sekat orang mahu kahwin. Awak (wartawan) pun marah kalau orang halang kamu nak kahwin.

"Bagi saya tidak ada alasan untuk kerajaan negeri mengawal atau menyekat rakyat berkahwin kerana ini hak masing-masing," katanya ketika ditemui media di Kota Bharu, hari ini.

Kawal dengan siapa nak kahwin

Semalam, Jabatan Imigresen mendedahkan wujudnya trend lelaki warga Pakistan mengahwini wanita Kelantan atas alasan mahu tinggal lebih lama di negara ini.

Trend itu dikatakan semakin meningkat dengan rekod kira-kira 400 wanita berkahwin dengan lelaki warga Pakistan dikesan di Kelantan.

Sementara itu Mohd Amar berkata, kerajaan negeri tidak akan sesekali membuat peraturan atau dasar baru yang tidak masuk akal.

"(Ia) akan mengundang kemarahan rakyat seperti mengawal dengan siapa mereka dibenarkan berkahwin.

"Soal ikhlas atau tidak ikhlas berkahwin itu dalam hati, macam mana kita nak tentukan dia (warga Pakistan) ikhlas atau tidak (berkahwin)," jelasnya. 

Lihat Komen
ADS