JK reformasi institusi kemuka 223 cadangan - Hanipa
PARLIMEN | Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) mengemukakan sejumlah 223 cadangan berkaitan urus tadbir, integriti dan pencegahan rasuah yang kini diteliti Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), maklum Timbalan Menteri Undang-undang, Hanipa Maidin.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen terhadap soalan daripada Kooh Poay Tiong (DAP – Kota Melaka) yang bertanyakan mengenai maklumat isi kandungan dan cadangan yang disyorkan dalam laporan IRC.
Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas Hanipa tidak jelas jika terdapat cadangan selain 223 syor berkenaan yang sedang diteliti GIACC.
Menurut Hanipa, laporan itu merangkumi sembilan institusi penting di negara ini, iaitu parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kehakiman, Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
"Sejumlah 223 cadangan dari IRC yang berkaitan dengan skop kerja governans, integriti dan pencegahan rasuah diselaras dan dipantau Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).
"Keputusan dasar berkenaan cadangan-cadangan tersebut dibawa ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan perdana menteri. Seterusnya keputusan dasar ini akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteriuntuk mendapat persetujuan kerajaan," kata Hanipa.
61 keputusan dibuat
Beliau berkata JKKMAR telah bertemu sebanyak lima kali sejak dibentuk pada 1 Jun tahun lalu dan peranannya untuk merangka dasar-dasar yang mengendalikan isu-isu pelanggaran integriti dan salah laku penjawat awam.
Jawatankuasa itu telah membuat 61 keputusan dan inisiatif yang akan dilaksanakan, jelasnya lagi.
“Antara keputusan yang dicapai adalah pemerkasaan institusi-institusi seperti mahkamah, parlimen, SPRM dan Jabatan Audit Negara agar peranannya lebih berkecuali dan dapat bertindak dengan lebih bebas.
“Inisiatif-inisiatif lain yang dipersetujui adalah penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC); peranan biro pengaduan awam sebagai ombudsman; mekanisme pengisytiharan harta dan mekanisme pelaporan penerimaan hadiah.
“Pihak kerajaan akan terus meniliti pelaksanaan cadangan-cadangan tersebut dari semasa ke semasa. Malah, kerajaan juga akan berusaha untuk memastikan usaha-usaha reformasi dapat dicapai melalui dialog dan sokongan dari semua pihak walaupun ianya mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan dengan jayanya,” kata Hanipa.
Jawatankuasa Reformasi Institusi yang memiliki lima anggota ini telah ditubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) pada 15 Mei pada tahun lalu.
IRC dianggotai bekas hakim Mahkamah Rayuan K C Vohrah; bekas hakim Mahkamah Rayuan dan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Mah Weng Kwai; Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig Jen (B) Mohd Arshad Raji; Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Ambiga Sreenevasan dan pakar perlembagaan dan pensyarah undang-undang Profesor Dr Shad Saleem Faruqi.
Menurut Hanipa IRC membentangkan laporannya kepada CEP pada 17 Julai tahun lalu. Seterusnya Majlis Penasihat menyerahkan laporan berkenaan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 19 Julai 2018.

