Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin menafikan bahawa pelantikan bekas setiausaha akhbarnya, Rashid Yusof sebagai editor kumpulan New Straits Times (NST) sebagai hasrat Pakatan Harapan untuk mengawal akhbar bahasa Inggeris itu.
"Ia tidak ada kaitan dengan saya, terpulang kepada lembaga, bukan saya (memutuskannya)," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi dialog di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di Kuala Lumpur.
Katanya, beliau tidak percaya bahawa PH bertujuan mengambil alih media dari segi mengawal kebebasan akhbar.
Rashid pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar ketika Daim adalah menteri kabinet dari Februari 2000 hingga Mei 2001.
Beliau dilantik sebagai editor kumpulan NST pada awal tahun ini.
Rashid menyertai New Straits Times Press Berhad, pada bulan September 1996 sebagai wartawan dengan akhbar Malay Mail. Beliau dilantik sebagai editor bersekutu NST pada Mac 2010 dan dinaikkan pangkat menjadi timbalan editor kumpulan NST pada November 2012.
Beliau meninggalkan NST pada Disember 2014.
