Mahkamah Tinggi Malaya, Kota Bharu, hari ini menetapkan 14 April depan untuk perbicaraan permohonan injunksi kes saman kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri bagi menghalang lima syarikat kontraktor pembalakan daripada memasuki kawasan yang didakwa tanah adat Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang, Kelantan.

Ia susulan saman yang difailkan kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri Kelantan dan tujuh pihak lagi untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat bagi suku Temiar di kawasan tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman, Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan selepas kedua-dua pihak plaintif dan defendan bersetuju pada tarikh yang dicadangkan.

Peguam Persekutuan Kanan, Kamal Azira Hassan yang mewakili plantif berkata, tarikh itu bagi mendengar permohonan kerajaan persekutuan selaku plaintif tunggal dalam saman berkenaan untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

"Kerajaan persekutuan memfailkan saman pada 14 Januari lalu beserta injunksi dan mahkamah menetapkan tarikh 25 Februari depan untuk pihak defendan memfailkan afidavit.

"Kami pula (kerajaan persekutuan) perlu memfailkan avidafit balasan pada 11 Mac dan mahkamah juga menetapkan pengurasan kes pada 27 Mac depan bagi memastikan kesemua dokumen lengkap sebelum perbicaraan dimulakan," katanya ketika dihubungi selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, hari ini.

Jumaat lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas dalam kenyataan media berkata, kerajaan persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah bagi pihak Orang Asli dalam memberikan pengiktirafan tanggungjawab perlembagaan dan perundangan untuk melindungi, serta menggalakkan kesejahteraan dan kemajuan mereka.

Menurutnya, kerajaan negeri Kelantan dan agensinya sebelum ini telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta, dan dengan menggunakan jentera berat mereka telah menebang dan membawa keluar kayu balak dari kawasan hutan yang luas, yang diterangi untuk dijadikan ladang durian dan pokok getah.

Selain itu jelasnya, kerajaan Kelantan tidak berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan atau menawarkan apa-apa pampasan atas penafian hak tanah adat dan sumber keperluan Orang Asli.

Sementara itu, dalam kes tersebut defendan pertama hingga kelima melibatkan kerajaan negeri Kelantan, pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri Kelantan, pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Selain itu lima lagi defendan melibatkan Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Berhad, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Berhad sebagai defendan keempat hingga kelapan.

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Kerajaan Kelantan, Shahidani Abdul Azizi berkata, defendan pertama hingga ketiga tidak tersenarai dalam permohonan injunksi yang dimohon plaintif, namun turut akan failkan afidavit hujahan.

"Defendan baharu saja menerima writ saman dan memerlukan sedikit masa untuk proses menyiapkan afidavit berkenaan sebelum plantif pula akan membuat afidavit balasan," katanya ketika ditemui.