Seorang pelajar Singapura, Darrion Mohan mempertahankan tindakannya mengasak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai hubungan dua hala Malaysia dengan republik itu semasa perbincangan Oxford Union, hujung minggu lalu.

Sebelum ini, beberapa pihak menganggap tindakan Mohan adalah keterlaluan dan biadab dengan nada yang sebegitu konfrontatif.

Dalam temu bual email dengan Straits Times Singapura, Mohan berkata perbincangan Oxford Union, selama ini adalah berasaskan "masyarakat yang berdebat".

"Apabila para pemimpin bercakap di forum itu, ada tradisi yang kuat bahawa mereka akan berdepan dengan soalan yang sukar dan mencabar," katanya.

Mengikut pelajar tahun kedua dalam pengajian sejarah dan politik yang berusia 22 tahun, dia sering menghadiri ceramah di Oxford Union, dan menyertai sesi soal jawab.

Mohan, berkata bahawa dia memang menanti-nantikan ceramah Mahathir, sambil menambah: "Memandangkan pertikaian maritim adalah isu semasa dan kontroversi, saya fikir adalah menarik untuk mendapatkan pandangan Dr M."

Menurut pelajar itu pertikaman lidah yang paling menarik dengan perdana menteri berusia 93 tahun itu adalah Mahathir berulang kali merujuk perairan di Tuas sebagai "perairan berkecuali" dan "perairan antarabangsa" berbanding sebelum ini sebagai perairan Malaysia .

"Kenyataan Dr M bahawa ini, sebenarnya, perairan antarabangsa melemahkan tuntutan awal Malaysia dan mencadangkan bahawa Malaysia tidak mempunyai asas untuk memperluaskan had pelabuhan Johor," katanya.

Mohan berkata beliau berharap Mahathir akan menjawap soalannya mengenai pertikaian antara kedua-dua negara itu dan bukannya memberi tumpuan kepada Perjanjian Air 1962.

"Dengan mengambil kira rekod dan jawatannya, Dr M boleh menawarkan perspektif unik dan saya tertarik untuk mendengar pandangannya," katanya.

Mohan, yang juga seorang pelajar pelatih di Kementerian Luar Negara Singapura, menjelaskan bahawa dia memutuskan untuk menyerahkan mikrofon apabila dia melihat beberapa tangan dibnaikkan dan bahawa adalah tidak adil untuk mengelakkan peluang orang lain bertanya.

"Norma adalah untuk bertanya satu soalan, dengan satu atau dua soalan susulan. Pertikaman lidah seperti saya dan Dr M jarang berlaku," katanya.

Rakaman video pertikaman lidah kedua-dua mereka juga menjadi tular di media sosial.

Antara lain, Mohan menyoal Mahathir mengenai tindakan Menteri Besar Johor Osman Sapian yang melawat sebuah kapal Malaysia di perairan yang dipertikaikan itu, dan memetik kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai menyatakan bahawa pentadbiran sekarang bertujuan untuk kembali ke jalan politik konfrontasi.

Mahathir membalas, "Kamu dialu-alukan untuk memilih Najib tetapi malangnya, saya fikir kamu bukan warganegara Malaysia. Jadi kamu tidak mempunyai hak. Adakah kamu rakyat Malaysia?"

Ketika itu, Mohan bangkit untuk menerangkan bahawa soalan yang ditujukannya bukan mengenai memilih Najib berbanding Mahathir.

"Saya hanya memetik pandangan Najib mengenai dasar luar negara anda. Persoalannya ialah sama ada melalui tindakan anda berhubung (projek) kereta api berkelajuan tinggi, ruang udara, pertikaian maritim, jambatan bengkok, semakan harga air, adakah anda mahu kembali kepada hubungan diplomatik yang tegang dengan Singapura yang kami saksikan semasa tempoh awal anda sebagai PM atau mahu melampaui itu?" soalnya.

Mahathir kemudian mengalih tumpuannya kepada perjanjian air, dan membidas Singapura yang hanya membayar tiga sen untuk 1,000 gelen air yang dibeli dari Malaysia sejak 1926. Bagi beliau, ini sebagai tidak adil.