Penasihat Proton Holdings Bhd Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu menahu tentang rundingan antara pengeluar kereta nasional dan Mitsubishi Motors Corp berkaitan kemungkinan menjalin kerjasama.

"Saya tak tahu apa-apa. Maksud saya mereka (Proton) melakukan perkara tanpa pengetahuan saya. Jadi saya tidak tahu apa yang mereka lakukan," kata Dr Mahathir.

Terserah kepada lembaga pengarah Proton untuk memutuskannya, kata beliau dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, selepas menyampaikan ucapan di pelancaran Maju Talk Series mengenai "Senario Politik-Ekonomi Global Selepas 2020, Percabangan dan Implikasinya dengan Rujukan Khusus kepada Malaysia".

Bekas perdana menteri itu berkata, memang Proton ada menulis kepadanya memaklumkan perkara-perkara yang mereka lakukan tetapi kadang-kadang beliau mendapat tahu aktiviti syarikat itu menerusi akhbar.

Bagaimanapun, beliau berkata, beliau akan kekal sebagai penasihat Proton "selagi saya tidak dipecat".

Menurut laporan Bernama, skhbar Jepun baru-baru ini melaporkan bahawa Proton dan Mitsubishi sedang berbincang untuk membentuk kerjasama dalam aktiviti seperti membangunkan bersama model dan membuat pemerolehan komponen.

Kedua-dua pengeluar kereta itu sebelum ini pernah menjalin perkongsian sebelum ditamatkan pada 2004.

'Tidak diminta nasihat'

Apabila ditanya hubungannya dengan Proton, Dr Mahathir berkata sebagai penasihat beliau akan terus memberikan nasihat kepada Proton.

"Tetapi saya tidak diminta memberi nasihat, jadi saya tak beri nasihat," katanya.

Menurutnya lagi, beliau juga ada bertanya kepada Proton mengenai penjualan pegangan syarikat itu dalam pengeluar motosikal Itali, MV Agusta.

Bagaimanapun, lembaga pengarah Proton memutuskan untuk tidak menyediakan sebarang jawapan, katanya.

"Saya ingat ia sepatutnya menjadi suatu yang sangat telus di mana semua perkara dilakukan dengan pemerhatian penuh daripada orang lain. Tapi bila saya tanya soalan, lembaga memutuskan tidak perlu menjawab soalan itu," kata Dr Mahathir.

"Sebagai penasihat syarikat, saya berhak mengetahui mengapa mereka berbuat demikian (jual pegangan dalam MV Agusta)," katanya.

"Anda beli sesuatu dengan harga 70 juta euro dan anda jual dengan satu euro, tetapi mereka kata dengan berbuat demikian mereka tidak hilang duit. Tapi yang saya tak faham, sekiranya saya beli sesuatu dengan harga RM100 dan jual untuk satu sen (bagaimana) pula saya tak rugi apa-apa," kata Dr Mahathir.

"Saya masih nak tahu. Saya ingin tahu," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau tidak bermaksud mendesak Proton menjawab sekiranya lembaga pengarahnya tidak mahu memberikan jawapan.