Tok Pa meroyan dan terdesak, kata Umno Kelantan
Kemunculan bekas menteri Umno, Mustapa Mohamed yang turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands jelas tidak disenangi oleh parti yang pernah diterajuinya sebelum ini.
Sambil membidasnya sebagai 'meroyan dan terdesak', Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata Mustapa adalah seorang jeneral yang meninggalkan medan perang kerana takut diugut musuh.
"Macam-macam cerita buruk terpaksa dikeluarkan perihal pasukan lama beliau demi meyakinkan pasukan baru disertainya.
"Tindakan beliau itu dilihat satu survival politik oleh seorang jeneral yang gagal mengemudi kemenangan BN semasa pertempuran terdahulu.
"Tindak-tanduknya menjadi tontonan rakyat yang sudah semakin sangsi dan pelik dengan keadaan Tok Pa yang seakan-akan meroyan dan terdesak," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Noor Hariri berkata demikian sebagai mengulas kemunculan Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa yang kini bersama Pakatan Harapan selepas menyertai Bersatu.
Isnin lalu, Malaysiakini melaporkan Mustapa membuat penampilan mengejut pada majlis ceramah kelompok di sebuah petempatan Melayu di Kampung Kuala Medan, Jelai sempena PRK tersebut.
Mustapa yang juga bekas pengerusi Umno Kelantan tampil sebagai penceramah pertama pada program kempen itu.
"Malaysia perlukan kepimpinan yang kuat, Malaysia memerlukan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad," kata Mustapa kepada kira-kira 50 hadirin.

Sementara itu Noor Hariri berkata, bagi mereka tiada keperluan lagi untuk mempedulikan sebarang kata-kata anggota parlimen Jeli itu.
"Tiada apa lagi yang perlu kami endahkan terhadap Tok Pa yang terus-menerus mencaci dan membuat cerita-cerita dangkal tentang wadah perjuangan yangg mengangkat beliau sehingga menjadi menteri secara laluan mudah dengan menidakkan hak orang lain yang lebih layak.
"Ibarat kata-kata perdana menteri keempat dahulu, Melayu seperti Tok Pa adalah Melayu mudah lupa, " katanya.

