Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah: Penolong pengarah universiti awam direman tujuh hari
Diterbitkan:  Jan 23, 2019 1:02 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Seorang penolong pengarah Jabatan Komunikasi Korporat di sebuah universiti awam di Selangor direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta suapan bernilai lebih RM30,000, empat tahun lepas.

Majistret Shazali Hidayat Shariff mengeluarkan perintah tahanan reman itu bagi membolehkan lelaki berusia 42 tahun terbabit disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Turut ditahan reman untuk tempoh yang sama ialah seorang pembantu tadbir kanan di universiti berkenaan berusia 47 tahun.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai pakaian lokap SPRM berwarna oren tiba di Mahkamah Majistret di Shah Alam, kira-kira pukul 11 pagi.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki itu ditahan pada pukul 10.45 malam tadi selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor di sini.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat menerima suapan lebih RM30,000 daripada seorang pemilik syarikat pengiklanan sebagai balasan memilih dan mengesyor syarikat tersebut bagi kerja-kerja pembekalan dan percetakan di universiti berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS