Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Ketua hakim, peguam negara macam kera kena belacan
Diterbitkan:  Jan 23, 2019 4:51 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata kedudukan ketua hakim negara dan peguam negara tidak sama dengan seniman, justeru perlu menjaga tingkah laku di mata masyarakat.

Beliau mengulas rakaman video tular yang memaparkan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menari di pentas bersama beberapa individu lagi dalam satu acara Jumaat lalu.

Abdul Hadi berkata ia tidak akan menjadi isu jika individu yang dirakam itu merupakan seniman, apatah lagi jika dalam bidang seni tarian.

"Tetapi kalau yang menari itu ketua hakim negara atau peguam negara, apatah lagi yang sudah tua (dan) hampir bersara, akan dibandingkan dengan pepatah Melayu, laksana 'kera kena belacan'," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Hadi berkata pihak yang terlibat perlu sedar Malaysia adalah sebuah negara sifat ketimuran serta nilai agama dan budaya.

"Kalau yang tua berada di England atau Amerika pun malu untuk menari dalam usianya yang tua, maka janganlah kita lebih barat daripada barat.

"Hatta masyarakat barat yang bebas juga tidak mengizinkan sesiapa yang dipertanggungjawab membuat keputusan yang adil dan telus terhadap masyarakat berhubung sebebas-bebasnya dengan masyarakat umum, yang boleh mempengaruhi kewibawaannya," katanya lagi.

Rakaman itu dibuat dalam majlis ‘Opening Of The Legal Year 2019 Gala Dinner' yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.

Ia mengundang kritikan pelbagai pihak yang rata-ratanya menyifatkannya mengundang persepsi negatif dan menggugat prinsip pemisahan kuasa kerana ia melibatkan pihak kehakiman dan eksekutif.

Ada juga seruan untuk mereka meletakkan jawatan, antaranya oleh Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Hadi juga menyuarakan sentimen sama apabil mendakwa itulah yang akan dilakukan jika ia terjadi di negara luar.

"Jawatan penting negara wajib dilantik bukan sahaja (mereka) yang berilmu dan diambil kira pengaruhnya, bahkan wajib punya kehebatan integriti yang tinggi dan bermaruah mulia.

"Walaupun melakukan perkara yang menjatuhkan maruah itu ada yang dihalalkan oleh beberapa agama bukan Islam... Namun kalau melakukannya tetap dikira rendah maruahnya sehingga menjadikan dia tidak dihormati dan disegani oleh penganut agama dan bangsanya sendiri, maka hendaklah dihindari," katanya lagi.

Liew kemudian menjelaskan beliau berbuat demikian hanya selepas dijemput penganjur dan hanya untuk masa yang singkat.

Penganjur acara itu, Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) pula berkata tindakan itu tidak bermakna mereka tidak profesional dalam menjalankan tugas.

Lihat Komen
ADS