Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya naik pentas, menari lepas dijemput penganjur, kata menteri
Diterbitkan:  Jan 20, 2019 11:22 AM
Dikemaskini: 3:22 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata beliau, Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas naik ke pentas dan menari di sebuah acara Jumaat lalu hanya atas permintaan penganjur.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kritikan beberapa pihak susulan rakaman video acara itu yang tersebar semalam.

"... Kami menari pun kerana penganjur menjemput kami ke pentas untuk menari, tetapi hanya untuk satu lagu sahaja.

"Selain itu, penganjur juga adakan persembahan lain daripada artis dalam kalangan peguam, hakim dan pegawai kehakiman, selain persembahan tradisi. Ia bukan khas kepada sesiapa," katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung tindakan itu yang dikritik pelbagai pihak, termasuk oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Dalam rakaman itu, Liew, Malanjum dan Thomas serta tetamu lain dilihat menari di pentas dalam majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.

Antara pemimpin PH yang mengkritik tindakan itu ialah Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengingatkan PH perlu konsisten dalam pendirian mereka, memandangkan bekas peguam negara Apandi Ali pernah dikritik ketika menari bersama pemimpin BN beberapa tahun lalu.

Peguam Haniff Khatri Abdulla pula berkata ia menimbulkan "persepsi negatif" dalam kalangan masyarakat yang menggugat prinsip pengasingan kuasa.

Bagaimanapun penganjur iaitu Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) berkata tindakan mereka tidak bermakna mereka tidak profesional dalam menjalankan tugas.

Liew dilaporkan berkata lagi acara itu bukan diadakan hanya untuk bersuka-ria seperti anggapan sesetengah pihak, dan malah ia dihadiri semua anggota badan kehakiman seluruh negara.

"Saya ke situ demi memenuhi jemputan mereka... Penganjur juga menjemput Tommy Thomas, Richard Malanjum dan semua (anggota) badan kehakiman dan perundangan," katanya lagi seperti dipetik.

Lihat Komen
ADS