Ketua cabang buat laporan polis dakwa diugut MP PKR
Seorang ketua cabang PKR, tampil membuat laporan polis terhadap Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran selepas didakwa diugut berhubung isu kenderaan berat milik sebuah syarikat swasta di Sentul yang mengancam keselamatan penduduk.
Ketua Cabang PKR Bukit Bintang, N Shanmugam mengesahkan membuat laporan polis terhadap Prabakaran dan seorang lagi individu di Balai Polis Sentul, jam 1 tengah hari ini.
Beliau mendakwa Prabakaran membuat ugutan tersebut di sebuah khemah di hadapan sebuah kuil di jalan Ipoh selepas tidak berpuas hati apabila beliau mendedahkan perkara itu kepada media.
"Ketika saya menjelaskan kepadanya bahawa saya terpaksa pergi ke media selepas YB (Prabakaran) tidak menghirau permintaan temujanji berkenaan isu ini. Prabakaran terus memegang bahu saya dan berkata 'jangan cuba gali lubang, nanti kita semua jatuh dalam lubang itu' seolah-olah mengugut saya," kata Shanmugam kepada Malaysiakini.
Beliau turut mendakwa seorang pengikut Prabakaran, yang dikenali sebagai Selvam turut memberi amaran supaya tidak mengeluarkan kenyataan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Malaysiakini, Prabakaran menafikan insiden tersebut.
"Saya tidak boleh komen berkenaan sesuatu yang tidak berlaku. Saya juga tidak melayan perkara-perkara macam ini," katanya dalam satu mesej WhatsApp kepada Malaysiakini.
Minggu lepas, beberapa penduduk sekitar Sentul menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad memberi perhatian pada tapak simen milik sebuah syarikat yang beroperasi di Sentul sejak 10 tahun lalu.
Mewakili penduduk, Shanmugam berkata tapak simen milik syarikat YTL Corp yang beroperasi di pusat bandar itu mengancam keselamatan pengguna jalan raya khususnya pelajar sekolah.
Shanmugam turut berkata beliau bersama penduduk tempatan masih gagal mendapatkan temujanji dengan Prabakaran bagi membincangkan isu berkenaan.
Bagaimanapun Prabakaran menafikan menerima sebarang aduan atau permohonan mana-mana pihak sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

