Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Debat perdana 'tenggelam' dalam sejuk Cameron Highlands

PRK CAMERON | Debat perdana melibatkan calon-calon PRK yang berlangsung pada malam tadi tidak mendapat sambutan diharapkan daripada penduduk setempat.

Mungkin ia disebabkan Ceramah Perdana Pakatan Harapan dan juga pidato melibatkan Pemuda PAS dan Umno yang berlangsung pada waktu sama di lokasi berdekatan.

Justeru sesi debat tersebut hanya menarik kehadiran lebih kurang 50 orang.

Untuk rekod, debat di antara calon pilihan raya itu adalah yang pertama kali diadakan dalam sejarah Malaysia, namun sesi berkenaan hanya melibatkan segelintir penduduk tempatan, dan selebihnya ialah petugas media, anggota Cawangan Khas (SB), dan beberapa penyokong masing-masing.

Perdebatan itu bertajuk 'Apa perubahan yang diperlukan Cameron Highlands’ disertai oleh calon PH, M Manogaran, dan dua calon bebas iaitu Salehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Calon BN, Ramli Mohd Nor, bagaimanapun tidak hadir.

Program itu anjuran Bersih dengan moderatornya ialah felo kanan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Faisal S Hazis.

Semua calon dapat peluang

Sesuai dengan keadaan yang 'dingin' itu tidak banyak soalan dikemukakan oleh orang ramai.

Mujur salah seorang hadirin, Mohd Tahir Kassim, 60, yang berasal dari Kuala Medang, Jelai sedikit mewarnakan sesi berkenaan dengan bertanya banyak soalan.

Bekas pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu memberitahu Malaysiakini, dia adalah salah seorang pembantu kempen Salehuddin.

Katanya sesi debat tersebut adalah pembaharuan kepada proses demokrasi dan pilihan raya Malaysia dan boleh dianggap mencapai standard seperti negara luar.

“Dia (Bersih) buat (perdebatan) sebelum pemilihan, kita bagi debat, pandangan masing-masing. Itu satu tindakan yang paling baik, memberi kesan kepada pengundi-pengundi,” katanya.

Walaupun berasal dari kawasan kubu kuat BN, Mohd Tahir berkata, kali ini dia tidak lagi kuat menyokong parti berkenaan kerana menganggap calon yang diletakkan kali ini kurang sesuai.

Pakar pediatrik, Cheam May Choo, 59, yang juga merupakan penduduk tempatan dari Tanah Rata beranggapan, perdebatan malam tadi adalah inisiatif yang amat baik.

Katanya melalui sesi berkenaan semua calon mendapat ruang menyatakan pandangan kepada orang ramai ketika berdepan masalah kekurangan mekanisme pilihan raya.

“Ini banyak membantu calon bebas, mereka dapat menyampaikan mesej mereka kepada pengundi,” katanya.

Apabila ditanya sebab untuk hadir ke perdebatan tersebut, Cheam berkata, dia ingin mengenali calon-calon lain di Cameron Highlands supaya dapat membuat pilihan yang betul.

Sementara itu Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata walaupun sambutan tidak seperti diharapkan dia tidak kecewa sama sekali kerana perdebatan tersebut tetap menempa sejarah.

Sesi berkenaan juga katanya disiarkan secara langsung oleh RTM1 dan Astro Awani.

“Kami harap ini akan menjadi satu permulaan yang baik dalam pilihan raya umum dan kecil akan datang.

"Kami lihat ini akan menjadi satu norma dan berharap calon-calon akan berminat untuk mengambil bahagian,” katanya.

Namun Fann tidak berselindung menyatakan kecewa apabila Ramli tidak hadir walaupun peluang berkenaan sepatutnya direbut calon BN itu untuk menonjolkan potensi sebagai seorang anggota parlimen.

Katanya dengan isu Orang Asli berkali-kali dibangkit dalam perdebatan malam tadi, Ramli berpeluang membela kaumnya.

“Sesiapa yang ketinggalan (mengikuti perdebatan ini) memang rugi kerana anda diberi perhatian melalui siaran TV secara percuma ke seluruh negara,” katanya. 

Lihat Komen
ADS