Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Pahang yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ucapan berkenaan dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada DYMM Al-Sultan Abdullah ibni Sultan Hj Ahmad Shah atas pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke XVI," demikian ucapan yang dimuat naik dalam Facebook Sultan Johor.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara hari ini mengisytiharkan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Jan 2019.

Mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

- Bernama