Malaysiakini BERITA

Projek IT imigresen RM3.5b: Siasatan SPRM hampir selesai - Sumber

Hariz Mohd  |  Diterbitkan

SPRM hampir menyelesaikan kes siasatannya terhadap projek Kementerian Dalam Negeri untuk membina sistem IT baru bagi Jabatan Imigresen.

Sumber berkata para pegawai yang ditugaskan menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung projek itu - yang dikatakan bernilai RM3.5 bilion - menyebut proses tendernya masih berjalan.

Walau bagaimanapun, sumber yang dekat dengan pihak berkuasa menjelaskan ini tidak bermakna SPRM menutup fail siasatannya dalam kes ini.

"Pada mulanya, kami melancarkan siasatan selepas menerima maklumat kemungkinan berlaku rasuah dalam projek yang dirancang untuk membina sistem bersepadu imigresen dalam talian.

"Didakwa syarikat lain telah dipilih untuk melaksanakannya, iaitu untuk menggantikan projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (Skin) yang dibatalkan. 

Tender belum muktamad

"Syarikat ini didakwa tidak mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan ia mempunyai kaitan dengan seorang kanan pegawai di Kementerian Dalam Negeri.

"Bagaimanapun, siasatan yang dilakukan terhadap tuduhan ini mendapati tiada bukti kukuh mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa berkenaan memandangkan tender itu belum diberikan kepada sesiapa lagi," kata seorang sumber.

Sumber lain mengatakan sukar untuk membuktikan unsur-unsur rasuah, jika ada, apabila proses tender masih belum pun dimuktamadkan lagi.

"Buat masa ini, SPRM berpuas hati dengan penemuan kami bahawa projek tersebut sedang menjalani proses tender terbuka.

"Bagaimanapun, jika ada maklumat baru untuk menunjukkan terdapat unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa, kami akan membuka kembali penyiasatan ini," kata sumber itu.

Minggu lepas, dilaporkan SPRM sedang menyiasat jika ada unsur penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam Kementerian Dalam Negeri.

Sumber yang rapat dengan siasatan tersebut memberitahu Malaysiakini mereka menerima maklumat bahawa perubahan mendadak jawatan pengarah jabatan imigresen baru-baru ini boleh dikaitkan dengan percubaan untuk memberi projek kepada sebuah syarikat.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, pada 18 Januari lalu mengeluarkan kenyataan menafikan projek itu telah diberikan kepada syarikat yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan kementerian.

Muhyiddin pada suatu kenyataan berkata dokumen tender akhir untuk projek tersebut dijangka siap pada April ini dan tiada syarikat yang telah dianugerahkan kontrak berkenaan sehingga tarikh itu.

[Baca berita penuh]