PRK CAMERON l Calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Cameron Highlands, M Manogaran menafikan dakwaan bahawa saksi Orang Asli dibayar untuk memberi keterangan menentang BN.

Memetik seorang pemimpin Orang Asli yang tidak dinamakan, Sinar Harian melaporkan semalam bahawa beberapa penduduk “diugut dan dibayar untuk memburuk-burukkan BN yang kononnya parti itu merasuah Orang Asli pada pilihan raya umum ke-14.

Dakwanya, penduduk “menerima bayaran mencecah ratusan hingga ribuan ringgit daripada pihak tertentu” untuk membuat pengakuan tersebut.

Mengulas dakwaan itu, Manogaran berkata bahawa semua saksi telah mengangkat sumpah sebelum memberi keterangan mereka.

"Tidak, (dakwaan itu) sama sekali tidak benar.

"Apa yang kami lakukan ialah kami bawa mereka ke KL kerana mereka adalah saksi saya. Saya ada tanggungjawab untuk bawa mereka (ke mahkamah).

“Malah, mereka membuat pengakuan di mahkamah bahawa mereka tidak dibayar apa-apa,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai perkara itu semasa lawatannya di Kampung Kuala Medang, Jelai pagi ini.

Selepas tewas tipis pada PRU14, Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya yang mendakwa bahawa Naib Presiden MIC, C Sivarraajh terlibat dengan amalan rasuah untuk memenangi Cameron Highlands.

Seramai 12 Orang Asli memberi keterangan di hadapan Hakim Azizah Nawawi di Kuala Lumpur bahawa mereka menerima wang sebelum 9 Mei.

Sehubungan itu, Mahkamah Pilihan Raya kemudian menetapkan bahawa pembelian undi memang berlaku dan membatalkan keputusan pilihan berkenaan serta mengarahkan pilihan raya diadakan semula.

Esok (26 Januari) adalah hari mengundi.

[Baca berita penuh]